Bekas COO TH mengaku tak salah terima kos ubah suai rumah RM302,499

Bekas ketua pegawai operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Adi Azuan Abdul Ghani, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima benda berharga berupa kos pengubahsuaian tiga rumah berjumlah RM302,499.27, sembilan tahun lalu.
Adi, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Adi yang ketika itu COO TH didakwa menerima benda berharga berupa kos pengubahsuaian tiga rumah daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail dengan balasan diketahuinya tidak mencukupi.
Kos pengubahsuaian itu masing-masing berjumlah RM235,866.58 bagi rumah di Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13, Shah Alam; RM50,698.74 di Jalan Sepah Puteri 5/20B, Kota Damansara dan RM15,933.95 di Jalan USJ Height 2/2A, Subang Jaya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Mac 2017 dan semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan jaminan RM70,000.
Namun, peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM30,000 atas alasan anak guam menanggung empat anak lelaki berusia 12 hingga 25 tahun yang masih belajar.
“Anak guam saya telah bersara tahun lalu, selain memberikan kerjasama kepada SPRM dalam siasatan pada 2018 dan bulan lalu,” katanya.
Peguam turut memohon pasport Adi dikembalikan kerana beliau bercadang menunaikan umrah, selain memaklumkan tertuduh memerlukan rawatan berkait penyakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan Adi diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin serta menetapkan syarat tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap tiga bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi.
Sebelum ini, prosiding pertuduhan terhadap Adi ditangguhkan selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos kerana masalah berkaitan jantung.
Adi juga pernah direman empat hari oleh SPRM pada Disember 2018 bagi membantu siasatan berkaitan penggunaan kontraktor reka bentuk dalaman yang mempunyai kaitan dengan TH untuk kerja pengubahsuaian rumahnya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.