Fama perluas jaringan niaga, peluang keusahawanan melalui Kopiesatu di Perlis

Pembukaan cawangan pertama Kopiesatu di Perlis sebahagian daripada usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperluaskan jaringan perniagaannya dan peluang keusahawanan dalam industri kopi tempatan.
Pengerusi Fama, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, berkata pihaknya juga berhasrat menjadikan Kopiesatu Perlis bukan sekadar pusat jualan kopi, sebaliknya model pembangunan keusahawanan, pusat latihan berkaitan industri kopi serta platform menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada belia tempatan.
Katanya, Kopiesatu kini mempunyai 34 cawangan di seluruh negara dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM7.88 juta.
Menurutnya, cawangan pertama Kopiesatu di Perlis yang terletak di Taman Sena Indah, Kangar mula beroperasi 18 Sept lalu dengan jualan mencecah RM86,100 sehingga kini.
“Pencapaian dalam tempoh kurang dua bulan itu mencerminkan potensi pasaran positif yang menjadi pemangkin kepada perancangan Fama untuk memperluaskan jenama Kopiesatu di Perlis,” katanya dalam taklimat kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan merasmikan cawangan pertama di Perlis itu semalam.
Beliau berkata, Fama Perlis merancang pembukaan sebuah lagi cawangan Kopiesatu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi memperluaskan capaian perkhidmatan dan pasaran jenamanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.