Kerajaan perketat syarat pusat data, kenakan tarif elektrik ikut pasaran

Kerajaan memperketat syarat pelaburan pusat data di negara ini dengan mengenakan tarif elektrik mengikut harga pasaran, selain mewajibkan pengendali membayar penuh kapasiti tenaga yang ditempah walaupun tidak digunakan sepenuhnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata tarif elektrik bagi pusat data kini diasingkan daripada kategori pengguna lain bagi memastikan sektor itu tidak lagi bergantung kepada subsidi yang dinikmati pengguna domestik dan industri biasa.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan pelabur menanggung kos sebenar bekalan elektrik yang diperlukan, termasuk kapasiti tenaga yang telah ditempah tetapi tidak digunakan.

“Dulu kalau minta 200 megawatt (MW), kita beri tetapi pelabur mungkin guna 100MW sahaja. Sekarang, kalau sudah bersedia dan hanya guna 100MW, kita tetap anggap mereka guna 200MW dan mengenakan caj penuh,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai insentif pelaburan pusat data, manfaatnya kepada ekonomi dan masyarakat serta kawalan terhadap penggunaan sumber negara.
Johari berkata, pelabur turut diwajibkan menanggung kos menaik taraf rangkaian penghantaran elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB), selain menggunakan teknologi kitar semula air bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan air negeri.
Menurutnya, Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) juga menetapkan syarat penggunaan sekurang-kurangnya 3% kandungan tempatan, termasuk khidmat perunding, kontraktor serta perkhidmatan kejuruteraan dan perundangan.
Katanya, syarat itu bertujuan memastikan syarikat dan penyedia perkhidmatan tempatan turut mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan pusat data yang semakin pesat.
“Kita mahu beritahu dunia bahawa kita mengalu-alukan kedatangan mereka, tetapi ia bukan lagi mengenai tenaga murah. Negara dan rakyat mesti mendapat manfaat hasil daripada pelaburan ini,” katanya.
Mengulas perkembangan sektor berkenaan, Johari berkata sumbangan pusat data kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat ketara daripada RM900 juta pada 2021 kepada RM14.1 bilion tahun ini.
Setakat ini, sebanyak 57 pusat data beroperasi dengan bekalan kuasa berjumlah 6,237MW daripada TNB, manakala 60 lagi projek yang memerlukan 11,172MW berada dalam pelbagai peringkat kelulusan dan pembinaan.
Beliau berkata, jumlah pelaburan yang dilaporkan dalam sektor itu mencecah RM385.7 bilion, terdiri daripada RM271 bilion pelaburan asing dan RM114 bilion pelaburan domestik.
Selain itu, syarikat teknologi utama seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Google dan Alibaba digalakkan menyediakan akses kepada kapasiti pengkomputeran serta berkongsi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan dengan universiti serta syarikat tempatan.
Johari berkata, usaha itu penting bagi membangunkan kepakaran dan tenaga kerja tempatan dalam bidang teknologi untuk jangka panjang.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.