Perinci pecahan RM18.7 bilion untuk Sabah, gesa MP Kota Belud

Kerajaan Persekutuan digesa memperincikan pecahan peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan 2027 mengikut kementerian supaya rakyat dapat mengetahui jumlah sebenar yang disalurkan bagi pembangunan negeri itu.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata jumlah diumumkan itu bukan semuanya untuk pembangunan kerana turut merangkumi belanja mengurus, termasuk pembayaran gaji kakitangan Persekutuan yang bertugas di Sabah.
Katanya, perbelanjaan mengurus sememangnya tanggungjawab kerajaan Persekutuan di semua negeri dan tidak sepatutnya menimbulkan gambaran bahawa keseluruhan RM18.7 bilion diperuntukkan khusus untuk pembangunan Sabah.
“Sebenarnya dari dulu pun belanja operasi di bawah tanggungjawab Persekutuan dan bukan Sabah sahaja yang kena bayar, negeri-negeri lain juga.
“Dan kena maklum bahawa ini tiada kaitan dengan 40%,” katanya merujuk kepada pemberian khas berdasarkan hasil diperoleh dari wilayah Sabah.
Beliau berkata demikian pada perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam Belanjawan 2027, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan peruntukan Persekutuan untuk Sabah kepada RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, analisis terhadap Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan dan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi 2023 hingga 2025 menunjukkan jurang ketara antara peruntukan asal dengan perbelanjaan yang dapat dikenal pasti.
Menurutnya, daripada RM19.8 bilion yang diumumkan untuk Sabah sepanjang tempoh itu, hanya RM4.22 bilion perbelanjaan dapat dikesan secara khusus menerusi butiran dalam dokumen rasmi berkenaan.
“Malah dalam tempoh 2023 hingga 2024 sahaja, lebih RM1.83 bilion peruntukan khusus Sabah telah dikurangkan dalam tahun semasa, manakala melebihi RM1.9 bilion yang diumumkan gagal dibelanjakan,” katanya.
Isnaraissah mendakwa pemotongan peruntukan pada pertengahan tahun juga membolehkan sesetengah kementerian mencatat pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang tinggi dari segi peratusan, walaupun pelaksanaan pembangunan infrastruktur asas terjejas.
Beliau turut meminta penyata perbelanjaan sebenar Kerajaan Persekutuan di Sabah yang diaudit Ketua Audit Negara dibentangkan setiap tahun di Parlimen dan DUN Sabah.
Katanya, baki peruntukan yang diluluskan untuk Sabah tidak sepatutnya dipindahkan keluar, sebaliknya digunakan bagi membiayai projek infrastruktur atau kemudahan asas lain yang masih diperlukan rakyat negeri itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.