Polis bukan pengganti sekolah tangani pelajar ponteng, kata pakar

Polis tidak sepatutnya mengambil alih tanggungjawab sekolah dalam menangani masalah ponteng, sebaliknya menumpukan perhatian kepada anasir luar yang mengambil kesempatan terhadap pelajar, kata pakar pendidikan.
Effendi@Ewan Matore daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tugas mengesan kehadiran, menyiasat punca ketidakhadiran dan membimbing pelajar perlu kekal bawah tanggungjawab guru bimbingan dan kaunseling serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, peranan polis lebih sesuai tertumpu kepada pendidikan berkaitan undang-undang, keselamatan jalan raya dan bahaya dadah, selain mengekang kegiatan pihak luar yang boleh memudaratkan pelajar.

“Antaranya termasuk sindiket dadah, premis tidak berlesen yang membenarkan pelajar berseragam berada di situ ketika waktu persekolahan serta kumpulan kongsi gelap yang cuba merekrut ahli baharu.
“Dari segi mandat, polis tidak mempunyai latihan pedagogi, kepakaran kerja sosial atau instrumen dasar untuk menangani punca asas keciciran pelajar, seperti kemiskinan keluarga, masalah pembelajaran atau krisis rumah tangga.
“Oleh itu, saya berpandangan penglibatan polis tidak sepatutnya menjurus kepada pemantauan tingkah laku peribadi atau pengumpulan profil keselamatan terhadap pelajar biasa,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, pihaknya akan menjejak dan melakukan pemprofilan terhadap kira-kira 10% pelajar di ibu negara yang kerap ponteng serta tercicir daripada sistem persekolahan.
Fadil berkata, usaha itu bertujuan mengenal pasti punca keciciran dan membantu membawa pelajar terbabit kembali ke sekolah.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya, Suhaiza Hanim Mohamad Zailani, berkata pemprofilan penting bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran sebelum intervensi bersesuaian dilaksanakan.
Katanya, pelajar ponteng tidak seharusnya terus dianggap bakal pesalah, sebaliknya perlu dilihat sebagai individu yang mungkin memerlukan bantuan.

“Penglibatan polis boleh membantu jika terdapat ancaman keselamatan seperti kegiatan samseng, eksploitasi, penderaan atau jenayah yang menjejaskan kehidupan pelajar,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes ponteng tanpa unsur ancaman sedemikian, intervensi perlu diterajui pihak pendidikan dengan kerjasama ibu bapa, kaunselor dan agensi kebajikan.
“Pemprofilan penting untuk memahami punca masalah supaya intervensi dapat disesuaikan dengan keperluan setiap pelajar, bukan menggunakan pendekatan sama untuk semua,” katanya.
Suhaiza berkata, pelajar mungkin ponteng akibat kesukaran kewangan, masalah pengangkutan, tanggungjawab menjaga ahli keluarga, tekanan untuk bekerja, buli atau ketinggalan dalam pembelajaran.
Katanya, membawa pelajar kembali ke sekolah tanpa menangani punca sebenar ketidakhadiran hanya menyelesaikan masalah buat sementara waktu.
Beliau turut mengingatkan, pendekatan yang terlalu menonjolkan penglibatan polis boleh menyebabkan pelajar berasa malu, takut atau dilabel sebagai pesalah, sekali gus mendorong mereka menjauhkan diri daripada sekolah.
“Justeru, proses pemprofilan perlu dilakukan secara berhemah dengan menjaga kerahsiaan pelajar serta memastikan maklumat yang dikumpulkan digunakan untuk merancang bantuan, bukannya menjadi rekod negatif yang membayangi masa depan mereka,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.