Eksekutif rugi lebih RM600,000 terpedaya pelaburan aksesori kereta

Seorang pegawai eksekutif kerugian RM617,159 selepas dipercayai diperdaya kenalannya menerusi urusan pinjaman wang dan pelaburan saham dalam perniagaan aksesori kereta yang tidak wujud sejak 2022.
Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas gagal mendapatkan semula wang yang diserahkan kepada suspek yang dikenalinya sejak 2018.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mula meminta mangsa meminjamkan wang kepadanya pada 2022 sebelum menawarkan pelaburan saham dalam perniagaan aksesori kereta pada 22 Dis 2024 dengan menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 45% dalam tempoh setahun.
“Mangsa yang mempercayai suspek bersetuju meminjamkan wang dan menyertai pelaburan berkenaan dengan membuat pembayaran secara dalam talian.
“Secara keseluruhan, mangsa melakukan 72 transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank tempatan antara 30 Nov 2022 hingga 12 Mac 2026 membabitkan jumlah RM617,159,” katanya dalam kenyataan.
Tan berkata mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pinjaman mahupun pelaburan, selain mendapati nombor telefonnya telah disekat oleh suspek.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.