Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap

Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap di sini pada 10.17 pagi ini, bagi menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan kemelut yang melanda negeri ini.
Terdahulu, Tuanku Muhriz berangkat tiba di istana berkenaan kira-kira 9.30 pagi, diikuti ketibaan tiga Undang Luak Negeri Sembilan.
Mereka ialah Undang Luak Rembau Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Azrin Khairi.
Ismail, yang juga Adun Juasseh, difahamkan menghadap baginda bagi membincangkan kemelut semasa di negeri ini.
Isnin lalu, Ismail, 67, dilaporkan meletak jawatan sebagai menteri besar Negeri Sembilan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos.
Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada hari sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail dengan sesi menghadap berlangsung dari 5 hingga 6.30 petang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.