Dr Sam belum fikir soal jadi calon PM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau belum memikirkan soal menjadi calon perdana menteri pada PRU16, sambil menegaskan perkara itu akan ditentukan kepimpinan gabungan apabila tiba masanya.
Menteri besar Terengganu itu berkata keutamaan PN ketika ini adalah memenangi pilihan raya terlebih dahulu sebelum menentukan individu yang akan diberi tanggungjawab menerajui kerajaan Persekutuan.
“Kami belum membuat keputusan mengenai perkara itu. Kita akan membincangkannya apabila tiba masanya,” katanya pada sidang media sempena SG4 Business & Economic Forum 2026.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bersedia menjadi perdana menteri sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU16.
Isu calon perdana menteri dari PN kembali berbangkit menjelang PRU16 dengan ada gesaan supaya PAS selaku tonggak utama gabungan itu menamakan calon perdana menteri lebih awal.
Selain nama Samsuri, ada penganalisis politik menamakan Presiden Parti Wawasan Negara Hamzah Zainudin sebagai calon perdana menteri dari PN.
Bulan lalu, Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming pula meramalkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri jika BN dan PN membentuk pakatan serta memenangi PRU16.
Ditanya sama ada beliau terbuka memikul tanggungjawab itu, Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam berkata sukar memberikan jawapan secara langsung, namun mana-mana individu perlu bersedia sekiranya diberikan amanah.
“Jika diberikan peluang atau tanggungjawab, kita perlu bersedia menerima apa-apa cabaran dan bersikap terbuka terhadapnya,” katanya.
Mengenai peluang PN mengambil alih Putrajaya pada PRU16, Samsuri berkata tiada mana-mana pihak boleh menjamin kemenangan, sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang.
Bagaimanapun, beliau berkata penilaian berdasarkan angka, data serta kajian ahli sains politik dan penyelidik menunjukkan PN mempunyai peluang lebih baik pada PRU16 berbanding PRU15 sekiranya persaingan berlangsung secara adil.
“Kami mempunyai peluang lebih baik sekiranya wujud padang permainan yang sama rata,” dakwanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.