PRN Melaka medan penting bukti keberkesanan PN-BN

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PRN Melaka menjadi medan penting bagi membuktikan keberkesanan kerjasama gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN).
Katanya, kerjasama keduanya di Melaka akan menjadi ‘batu loncatan’ mengambil alih pentadbiran persekutuan pada PRU akan datang.
Beliau berkata, PN dan BN menaruh harapan tinggi untuk mencipta kejutan di DUN Kesidang serta beberapa kawasan lain menjelang hari pengundian pada 14 Nov.
“Kita ada lima hari sebelum penghujung pilihan raya dan kita menaruh harapan tinggi untuk mencapai kejutan di DUN Kesidang dan seluruh Melaka.
“Saya yakin kita boleh menjadikan Melaka sebagai batu loncatan yang kuat untuk membuktikan kerjasama politik baharu dibina ini boleh membawa kita ke Putrajaya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan PN DUN Kesidang di Malim Jaya.
Pada PRN Melaka 2021, calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Seah Shoo Chin mempertahankan kerusi Kesidang dengan 14,769 undi, menewaskan calon BN, Leong Hui Ying (4,532 undi) dan calon PN, Patrick Ng Chin Kae (3,124 undi).
Calon PN, Albert Kok akan bertembung Seah yang dalam misi mempertahankan kerusi itu serta calon Bersama, Dr Bryan Kek.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, walaupun hubungan peribadi antara pemimpin dan anggota parti komponen BN serta PN sudah lama terjalin, kerjasama politik secara rasmi memerlukan proses penyesuaian dan persefahaman.
“Di Melaka ini, ia bergerak jauh ke depan dengan perbincangan awal dapat dibuat beberapa kali berbanding Negeri Sembilan. Saya percaya kita mampu mencapai keputusan lebih baik dari segi peratusan, berbanding Negeri Sembilan,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.