The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, October 6, 2026

Indonesia akan sekat konsert Houghton kerana isu keselamatan, pro-Israel

Translate

Indonesia bakal menyekat konsert penyanyi muzik keagamaan Amerika Syarikat Israel Houghton bersama kumpulannya Israel & New Breed pada bulan ini, atas faktor keselamatan serta kebimbangan acara itu dijadikan platform promosi pro-Israel.

Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Yusril Ihza Mahendra berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan berhubung konsert Heal the Whole World Knows Tour 2026, dijadualkan pada 24 Okt ini.

Beliau berkata kenyataan Houghton yang menyokong Israel bercanggah dengan dasar luar Indonesia serta pendirian negara itu dalam menyokong kemerdekaan Palestin.

“Daripada beberapa persembahan di luar negara, di celah-celah muzik dan nyanyian, artis berkenaan ada membuat kenyataan antara lain menyuarakan ‘Saya berdiri bersama Israel’. Ini satu kenyataan yang agak sensitif,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Yusril berkata pihak penganjur belum memohon permit konsert di Jakarta dan Houghton juga belum memohon visa, sambil menambah kedua-dua permohonan berkenaan tidak akan diluluskan.

Beliau menegaskan keputusan itu tiada kaitan dengan agama atau nama penyanyi berkenaan.

Beliau berkata kerajaan juga sedang memantau perkembangan berhubung rancangan persembahan Houghton di Malaysia.

Menurut Yusril, Houghton pernah melawat Indonesia sebagai pelancong selama dua hari pada Januari lepas sebelum berlepas ke Manila, dan menegaskan visa pelancong tidak boleh digunakan untuk mengadakan persembahan konsert.

Pada 28 Sept, media melaporkan polis akan menasihati kerajaan negeri Sabah supaya menangguhkan konsert Houghton sekiranya permohonan rasmi dikemukakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata pendirian itu mengambil kira reaksi awam dan sensitiviti masyarakat.

Beliau berkata polis menerima dua laporan berhubung acara itu dan akan terus memantau situasi termasuk mengambil keterangan pihak berkaitan.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.