Mahkamah tolak tuntutan kerakyatan anak tanpa negara berbapakan warga Malaysia

Permohonan seorang bapa untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anak lelakinya yang tidak bernegara ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, walaupun terdapat keterangan ujian DNA yang mengesahkan hubungan biologi mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman Tengku Amir Zaki Abdul Rahman memutuskan, anak yang lahir di Thailand hasil hubungan bapa rakyat Malaysia dengan ibu warga Thailand tidak layak memperoleh kerakyatan secara kuat kuasa undang-undang kerana ibu bapanya gagal membuktikan perkahwinan mereka sah di sisi undang-undang ketika dia dilahirkan.
Anaknya yang menetap di Malaysia sejak berusia kira-kira tiga bulan itu dilahirkan di Golok, Thailand, pada Jun 2006. Dia tidak mempunyai sijil kelahiran dan tidak pernah memegang kerakyatan mana-mana negara.
Si bapa berhujah bahawa laporan DNA yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada Januari tahun ini secara muktamad membuktikan pertalian biologi mereka.
Beliau turut menegaskan ketiadaan dokumen perkahwinan dan pendaftaran kelahiran tidak sepatutnya mengatasi keterangan saintifik berkaitan nasab atau paterniti.
Bagaimanapun, Tengku Amir berkata, kelayakan kerakyatan seseorang anak mesti ditentukan berdasarkan status kelahirannya.
Mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan dokumentari dikemukakan bagi membuktikan bahawa ibu bapa kandung anak itu telah berkahwin secara sah semasa kelahirannya.
“Kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang menuntut pemenuhan syarat-syarat yang ditetapkan pada masa kelahiran,” kata Tengku Amir, merujuk beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjadi duluan.
Beliau memutuskan Seksyen 17 Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan terpakai bagi anak tersebut, yang dianggap sebagai dilahirkan di luar hubungan perkahwinan.
Mengikut peruntukan itu, sebarang rujukan kepada bapa bagi anak tidak sah taraf hendaklah ditafsirkan sebagai rujukan kepada ibunya bagi tujuan kerakyatan.
Sehubungan itu, Tengku Amir berkata, status kerakyatan individu itu perlu ditentukan berpandukan kerakyatan ibunya yang berbangsa Thai, dan bukannya bapa kandungnya, yang merupakan rakyat Malaysia.
Mahkamah kemudiannya menolak permohonan tersebut dan memerintahkan dua beranak itu membayar kos RM4,000 kepada kerajaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.