Sabitan edar dadah dikembalikan, 2 lelaki perlu jalani baki penjara 30 tahun

Dua lelaki yang dibebaskan dari penjara awal tahun ini perlu kembali menjalani baki hukuman penjara asal 30 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan mereka kerana mengedar 264.36g ganja.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Rhodzariah Bujang memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa pemandu Grab Azril Azhar Ahmad, 50, dan ahli perniagaan Zulfattar Ridzuan, 44, mengedar dadah berkenaan.
Hakim Lee Swee Seng dan Ravinthran Paramaguru turut menganggotai panel itu.
Lee yang membacakan alasan penghakiman ringkas berkata Mahkamah Rayuan terkhilaf pada Mei tahun lalu apabila menggantikan pertuduhan mengedar dengan pertuduhan memiliki hanya kerana jumlah ganja itu sedikit melebihi had berkanun.
Mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan 200g atau lebih ganja menimbulkan anggapan bahawa seseorang itu mengedar dadah.
Kedua-dua lelaki itu ditahan selepas polis menemui 264.36g ganja di Galla Industrial Park, Seremban kira-kira 5.40 petang pada 26 Sept 2020.
Lee berkata pihak pendakwaan turut mengemukakan bukti peralatan berkaitan pengedaran dadah, termasuk penimbang digital, paket plastik, pisau kecil dan pengisar, yang ditemui dalam kereta tempat ganja itu dijumpai.
Hakim berkata bukti berkenaan perlu dipertimbangkan secara keseluruhan, termasuk hakikat bahawa kedua-dua lelaki itu telah melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban, iaitu tempat yang tidak mereka kenali.
“Kami mendapati mahkamah rayuan tersalah arah ketika terdapat bukti pengedaran yang kukuh,” kata Lee.
Mahkamah Persekutuan kemudian mengembalikan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan rotan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 20 Okt 2023.
Hukuman itu dikira bermula dari tarikh mereka ditahan pada 26 Sept 2020.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap kedua-duanya kerana memiliki dadah, yang turut dikira dari tarikh mereka ditahan.
Kedua-dua lelaki itu dibebaskan dari penjara pada 23 Feb tahun ini selepas menjalani sebahagian daripada hukuman yang dikurangkan. Mereka hadir di mahkamah hari ini ketika Mahkamah Persekutuan membacakan keputusannya.
Azril, yang kini berusia 50 tahun, tidak akan disebat kerana undang-undang Malaysia mengecualikan lelaki berusia 50 tahun ke atas daripada hukuman sebatan. Bagaimanapun, Zulfattar perlu menjalani 12 sebatan.
Azril diwakili Hasnan Hamzah dan Qushwa Hasnan, manakala Jaspal Singh Mann dan Pramjit Kaur mewakili Zulfattar. Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling hadir bagi pihak pendakwaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.