Kerjasama pusat-negeri kunci bangunkan ‘gergasi tidur’ SG4, kata pakar

Potensi nadir bumi (REE) di empat negeri SG4 perlu dibangunkan menerusi kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri dengan tumpuan beralih daripada penjualan bahan mentah kepada penguasaan rantaian nilai hiliran.
Pakar industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nahrul Khair Alang Md Rashid, berkata pelabur lebih bimbang tentang ketidakpastian dasar dan akses kepada sumber berbanding peraturan ketat.
“Nilai tambahnya terletak pada pemprosesan, pemisahan unsur dan sebagainya iaitu pada proses hiliran.
“Bagaimanapun, sekiranya proses huluan (perlombongan) mengambil masa yang panjang, sudah tentu ia memberi kesan kepada proses hiliran. Kedua-dua proses ini perlu bergerak selari,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerjasama pusat-negeri perlu merangkumi persetujuan mengenai dasar, piawaian, keselamatan dan perkongsian manfaat bagi membangunkan industri bernilai tinggi.
Sementara itu, pakar ekonomi alam sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Norlida Hanim Salleh, berkata kekayaan REE perlu dimanfaatkan untuk pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar pulangan segera.
Katanya, kebergantungan pada eksport bahan mentah berisiko mewujudkan ‘penjajahan ekonomi baharu’ apabila pemprosesan dan nilai tambah dikuasai pihak luar.
“Sejarah membuktikan kekayaan sumber alam tidak menjamin kemakmuran seimbang. Pembangunan ekonomi berasaskan sumber perlu dinilai menerusi keupayaan membina industri, teknologi dan kemahiran tempatan, bukan sekadar hasil yang dikeluarkan.
“Persoalannya bukan sekadar SG4 kaya dengan REE, tetapi sama ada ia mampu menguasai nilai yang terhasil daripadanya,” katanya.

Norlida berkata, hasil REE perlu diurus secara telus bagi membangunkan modal insan dan industri bernilai tinggi, khususnya ketika Kelantan dan Kedah masing-masing mencatatkan kadar kemiskinan mutlak 11.5% dan 8.5%.
SG4 merangkumi Kedah, Terengganu, Perlis dan Kelantan yang diterajui Perikatan Nasional (PN), dengan tiga daripadanya dikuasai PAS.
Isnin lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan gabungan itu sebagai ‘gergasi tidur’ yang berpotensi menggandakan ekonomi negara.
Penasihat SG4 itu berkata, negeri terbabit perlu mengelakkan penjualan bahan mentah secara langsung dan mengutamakan strategi tambah nilai demi manfaat mampan kepada rakyat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.