Shuhaily dipindahkan ke pejabat KPN
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Shuhaily Zain kembali berkhidmat dalam pasukan polis bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Ismail.
Notis yang dilihat FMT menyatakan, Shuhaily kini bertugas di sekretariat KPN bagi perancangan strategik dan hal ehwal antarabangsa.
Notis ditandatangani Khalid itu menyatakan pertukaran berkenaan berkuat kuasa pada 24 Nov.
FMT telah menghubungi Khalid dan Shuhaily untuk mendapatkan komen.
Pada 21 Okt, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menyerang dua anggota polis di KLIA pada September.
Susulan pertuduhan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian memutuskan untuk menamatkan penempatan secara pinjaman Shuhaily ke AKPS.
Bagaimanapun, beliau dilihat kembali menjalankan tugas sebagai ketua AKPS pada 2 Nov dengan mempengerusikan mesyuarat komander selepas dilaporkan sedang ‘bercuti’ pada minggu sebelumnya.
Pada 14 Nov, Khalid berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan Shuhaily kembali ke pasukan polis.
Beliau menjelaskan Shuhaily sedang menjalani kontrak dua tahun sebagai ketua pengarah AKPS menerusi pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Shuhaily yang sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada 1 Julai tahun lalu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
