Produk import murah, kualiti rendah kini banjiri pasaran, kata Johari

Produk import yang dijual melalui platform e-dagang mesti memenuhi standard kualiti dan keselamatan yang sama seperti barangan buatan tempatan sebelum boleh dipasarkan di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani.
Johari berkata perbincangan diadakan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti cara untuk mengawal selia platform e-dagang, lapor Harian Metro.
Beliau berkata ketiadaan kawalan ketat menyebabkan produk import berharga murah tetapi berkualiti rendah membanjiri pasaran, sambil menambah bahawa produk tanpa pensijilan sah bukan sahaja menjejaskan hak pengguna, malah boleh menimbulkan risiko keselamatan.
“Rakyat bayar, tetapi standard tiada. Barang baru dua tiga bulan digunakan sudah rosak.
“Walaupun pada awalnya nampak seperti berbaloi dengan harga yang dibayar, hakikatnya produk itu tidak tahan lama,” katanya pada sidang media sempena Majlis SIRIM Industri 2026 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata SKMM akan mempertimbangkan tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi standard kualiti.
Johari berkata penguatkuasaan syarat pensijilan terhadap produk import juga akan memastikan persaingan yang lebih adil bagi pengeluar tempatan.
Beliau berkata pengeluar tempatan perlu menanggung kos pensijilan bagi memastikan produk mereka memenuhi standard kualiti dan operasi mereka diiktiraf, sedangkan produk asing memasuki pasaran tanpa menanggung kos sedemikian.
“Sebab itu harganya kelihatan jauh lebih murah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus menggalakkan pembelian dalam talian, sambil memastikan semua produk yang dijual kepada pengguna memenuhi standard yang ditetapkan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.