Perbicaraan hasutan Muhyiddin ditangguh susulan ‘perkembangan positif’

Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding hari pertama perbicaraan kes hasutan Muhyiddin Yassin selepas dimaklumkan mengenai “perkembangan positif” hasil pertemuan bekas perdana menteri itu dengan Sultan Pahang bulan lalu.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memberitahu Hakim Aslam Zainuddin, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap Muhyiddin pada 26 Okt lalu.
“Pada 2 Nov, kami menerima sepucuk surat daripada pihak istana. Saya tidak akan mendedahkan kandungannya, tetapi berdasarkan surat itu, kami ingin mengemukakan representasi baharu kepada peguam negara.”
Muhyiddin, 79, didakwa atas pertuduhan menghasut pada Ogos 2024 berhubung kenyataan dibuatnya pada kempen Perikatan Nasional di Gua Musang, Kelantan, pada bulan sama menjelang PRK Nenggiri.
Presiden Bersatu itu mempersoalkan mengapa Al-Sultan Abdullah, yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong, tidak menjemputnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas PRU15 pada 2022, walaupun mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.
Polis menerima 50 laporan dibuat terhadapnya susulan kenyataan itu. Muhyiddin turut menerima teguran daripada pihak Istana Pahang.
Amer memohon kebenaran mahkamah menangguhkan prosiding hari ini, yang ditetapkan untuk memulakan perbicaraan, bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan meneliti representasi baharu yang akan dikemukakan.
“Kami tidak mahu menjejaskan hubungan baik yang terjalin dengan memulakan perbicaraan ini, Yang Arif. Mohon beri kami sedikit kelonggaran dan masa.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.