9 ditahan selepas rusuhan di Desa Tun Razak

Polis menahan sembilan individu termasuk dua suspek utama selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata kejadian kira-kira 11 malam itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras dan anggota lain digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.
“Polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun di sekitar lokasi kejadian. Dua suspek utama bagi kes ini turut ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Fadil, tangkapan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita dengan semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
“Polis turut merampas beberapa barang yang disyaki digunakan ketika kejadian,” katanya.
Semua suspek ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Fadil turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh mengganggu siasatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.