Keluarga dibenar tinggal bersama Najib ketika tahanan rumah, kata Saifuddin

Bekas perdana menteri Najib Razak dibenarkan tinggal bersama ahli keluarganya sepanjang menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menetapkan empat kategori syarat dalam perintah pengampunan bersyarat Najib.
Katanya, syarat itu merangkumi sekatan berkaitan tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan dan lawatan, penggunaan telefon serta peranti telekomunikasi, selain kewajipan menyertai program pemulihan dan intervensi.
“Beliau tidak dibenarkan tinggal bersama sesiapa selain ahli keluarganya, termasuk isteri, anak, menantu dan cucu, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sudah menetapkan siapa yang dibenarkan tinggal bersamanya. Individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis,” katanya.
Saifuddin berkata, Najib juga tidak dibenarkan menerima pelawat tanpa kebenaran bertulis.
Bekas presiden Umno itu turut dilarang menggunakan telefon atau peranti telekomunikasi selain yang didaftarkan dengan Jabatan Penjara.
Najib juga tidak dibenarkan membuat kenyataan kepada media, muncul di platform media sosial, menghadiri majlis awam atau terbabit dalam kegiatan politik.
Saifuddin menjelaskan, syarat berkenaan bukan ditetapkan khusus untuk Najib semata-mata, sebaliknya turut menjadi panduan bagi mengendalikan kes seumpama itu pada masa depan.
Katanya, Jabatan Penjara juga mempunyai kuasa di bawah Akta Penjara untuk mengenakan syarat tambahan bagi tujuan kawalan dan pengawasan, selain menetapkan prosedur yang diperlukan.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah pada 10 Nov lalu. Hukuman itu dijadual tamat pada 23 Ogos 2028.
Sementara itu, Saifuddin berkata beliau akan membawa cadangan untuk menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) pada mesyuarat Kabinet akan datang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang ingin tahu sama ada beliau akan mencadangkan supaya minit mesyuarat berkenaan didedahkan kepada umum.
Syed Saddiq berpandangan adalah tidak adil sekiranya kerajaan sahaja terpaksa memikul beban moral dan tanggungjawab terhadap keputusan FTPB.
Saifuddin menjelaskan perkara itu tertakluk kepada keputusan Peguam Negara, namun beliau akan membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.