CNN TürkYeni "James Bond" belli olduPunchPlateau newlyweds die in fire, probe beginsInquirerCebu archbishop questions PH participation in Pax SilicaThe Jerusalem PostIDF investigating reported attempted attack near Jericho, military says한겨레뱀파이어, 배트맨 거쳐 이젠 첩보원…7대 제임스 본드에 패틴슨ZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioRapplerSpy scandal, US midterm defeat heat up Trump’s Asia visitNHK 社会【動画】Pickup NEWS(11月17日)매일경제화인베스틸, 3분기 누적 영업익 34억…조선업 호황 힘입어 ‘흑자 전환’Lenta.ruФБР изъяло оборудование для расследования причин масштабного сбоя в авиасообщении СШАSBS 뉴스고민수 방미통위 부위원장 "낡고 경직된 규제는 과감히 혁신해야"Malay MailUS air travel returns to near-normal after historic nationwide ground stop
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, November 17, 2026

Malaysia intai kerjasama nuklear bersama AS, Perancis dan Rusia, kata Fadillah

Translate

Malaysia sedang meneroka kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Rusia dalam usaha mengkaji kemungkinan memperkenalkan tenaga nuklear, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, Malaysia berhasrat memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tenaga nuklear Rusia, Rosatom.

“Kita akan tandatangani ‘Perjanjian 123’ dengan AS,” katanya dalam temu bual bersama FMT, merujuk pakatan kerjasama nuklear awam di bawah Seksyen 123 Akta Tenaga Atom AS 1954.

Perjanjian itu akan membolehkan AS memindahkan bahan, peralatan, teknologi dan kepakaran nuklear ke Malaysia bagi tujuan aman, termasuk penjanaan elektrik, penyelidikan serta aplikasi perubatan.

Fadillah berkata, Malaysia turut meneroka perjanjian serupa dengan Perancis, yang mana presidennya, Emmanuel Macron, memulakan lawatan dua hari ke negara ini semalam atas jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Lawatan itu, yang pertama buat Macron ke Malaysia sejak menjadi presiden Perancis pada 2017, dijangka meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, dengan tenaga nuklear awam menjadi antara bidang kerjasama utama yang dikenal pasti oleh pejabat presiden Perancis, lapor Bernama.

Fadillah berkata, Malaysia telah melawat Perancis, United Kingdom (UK), China, Korea Selatan, Rusia dan AS sebagai sebahagian penerokaannya dalam bidang tenaga nuklear.

Katanya, Malaysia sedang mengkaji loji nuklear terapung milik Rusia, yang menjana tenaga elektrik daripada reaktor di atas sebuah kapal.

Fadillah berkata, antara kelebihan berpotensi teknologi itu adalah kapal berkenaan boleh dibawa ke Malaysia untuk membekalkan elektrik dan dibawa pulang apabila kontrak tamat.

“Jadi kita tidak perlu menguruskan sisa dan sebagainya — itulah kelebihannya. Tetapi bolehkah kita lakukannya di Malaysia? Kita perlu nilai secara terperinci,” katanya.

Fadillah berkata, Malaysia sedang meneliti kedua-dua loji nuklear berskala besar serta reaktor modular kecil (SMR), dan akhirnya mungkin mempertimbangkan gabungan kedua-duanya.

Katanya, SMR boleh memberikan perkhidmatan kepada komuniti yang lebih kecil dan kawasan pulau, manakala reaktor lebih besar boleh dipertimbangkan untuk tanah besar.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, persoalan yang lebih mendesak adalah sama ada Malaysia sudah bersedia menerima pakai tenaga nuklear, termasuk dari segi penerimaan awam, modal insan, keselamatan, dasar dan kawal selia.

“Apa yang lebih penting? Pertama sekali, adakah kita bersedia?” katanya.

Fadillah berkata, tinjauan kesesuaian tapak telah pun dijalankan dan lokasi berpotensi ‘sedikit sebanyak sudah dikenal pasti’, namun beliau tidak menamakannya.

Beliau juga berkata, satu tinjauan menunjukkan kira-kira 70% responden bersedia menerima tenaga nuklear, walaupun segelintir mungkin membantah jika kemudahan itu dibina berhampiran kediaman mereka.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.