PunchRansom economy: How kidnappers turn northern families’ pain into profitESPN DeportesCambindo, con doblete y el León se enfila al triunfoוואלהגבר כבן 70 נפצע קשה באשקלוןESPNDodgers seal 14th consecutive playoff berth, 'one of the goals'The Jerusalem PostMahmoud Khalil sues Columbia University for alleged failure to protect pro-Palestinian studentsInquirer6th most wanted in Oriental Mindoro arrested한겨레“철탑 2214개 줄이고 송전망 마을엔 연 300만원”… ‘송전망 갈등’ 해법 될까SözcüÜnlü iş adamının 20 milyon dolarlık jeti Libya’da yandıRapplerLIVE UPDATES: First BARMM parliamentary electionsStraits Times SportGold or bust: Team Korea chase more Asian Games glory in football, baseballBillboardDolly Parton Remembered by Reba McEntire & Sally Field on 2026 Emmys: ‘I Never Stopped Loving Her’Globo EsporteVila Nova sai na frente, e Avaí busca o empate em Florianópolis
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, September 15, 2026

Fuad Stephens, ‘Bapa Malaysia dari Sabah’, di mata anaknya

Translate

Sesibuk mana pun harinya, Fuad Stephens akan cuba pulang untuk makan malam bersama keluarga. Anak-anaknya juga mesti berada di meja makan, dan sesiapa tidak hadir perlu memberikan alasan.

“Anda tak boleh sesuka hati tidak datang,” kata anaknya, Asgari Stephens, kepada FMT Lifestyle sambil tersenyum.

Amalan itu menggambarkan betapa pentingnya keluarga bagi Fuad. Walaupun hari-harinya dipenuhi urusan bersama orang ramai, negarawan itu tetap meluangkan masa untuk memastikan keluarganya sentiasa rapat.

Mereka juga sering berkelah dan menghabiskan masa di tepi laut.

“Dia seorang bapa yang sangat penyayang. Kadang-kadang saya sendiri tidak tahu bagaimana dia mampu melakukan begitu banyak perkara,” kata Asgari, 66.

Dilahirkan pada 14 Sept 1920 di Kudat, Sabah, Fuad sepatutnya berusia 106 tahun, hanya dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Dikenali sebagai ‘Bapa Malaysia dari Sabah’, beliau memainkan peranan penting dalam rundingan yang membawa kepada pembentukan Malaysia dan kemudian menjadi ketua menteri pertama Sabah.

Asgari (dua dari kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya ketika kecil. (Gambar Facebook Faridah Stephens)

Namun, bagi Asgari, Fuad hanyalah seorang bapa yang sangat menyayangi anak-anak, mementingkan pendidikan serta mengajar mereka tentang kejujuran dan tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.

Sifat mesra Fuad bukan sahaja terserlah di rumah. Beliau mampu bergaul dengan mudah, sama ada bersama penduduk kampung mahupun ketua negara.

Fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan beberapa dialek Cina, selain mempelajari bahasa Jepun ketika Perang Dunia Kedua, Fuad turut menggunakan kemahiran bahasanya untuk membantu orang ramai menulis surat dalam bahasa Inggeris kepada pihak berkuasa.

Fuad yang berketurunan Eurasia-Kadazan memeluk Islam bersama keluarganya pada 1971. Namun, masyarakat Kadazan kekal dekat di hatinya dan mengangkat beliau sebagai ‘Huguan Siou’, atau pemimpin tertinggi mereka.

“Dalam wasiatnya, dia turut menyampaikan harapan terbaiknya untuk masyarakat Kadazan. Setiap kali mengenangkannya, saya menjadi sangat sebak,” kata Asgari, seorang pelabur modal teroka berpengalaman dan pelabur dalam syarikat pemula.”

Namun, impian Fuad untuk Sabah melangkaui batas kaum.

“Saya selalu melihatnya sebagai seorang yang percaya kepada politik berbilang kaum,” kata Asgari.

Menurutnya, bapanya membayangkan sebuah Sabah yang lebih inklusif dan berasaskan merit, dengan tumpuan kepada pembangunan kemahiran rakyatnya.

Pada masa sama, Fuad tidak mahu Sabah mencapai kemerdekaan tetapi terus terlalu bergantung kepada struktur pentadbiran kolonial lama.

“Ketika itu, graduan di Sabah sangat sedikit dan jentera kerajaan masih dikendalikan oleh British.”

group

Asgari berkata Lee Kuan Yew (duduk, dua dari kanan) memainkan peranan penting dalam meyakinkan Fuad supaya menyokong pembentukan Malaysia. (Gambar Facebook Faridah Stephens)

Bagaimanapun, Fuad pada mulanya berhati-hati dengan cadangan pembentukan Malaysia.

“Tanpa kesatuan antara Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai pengimbang kuasa, kedudukan kita mungkin agak lemah. Saya rasa itulah yang dibimbangkannya.”

Menurut Asgari, Lee Kuan Yew dari Singapura memainkan peranan penting dalam meyakinkan Fuad supaya menyokong pembentukan Malaysia.

“Dia sangat rapat dengan Lee. Mereka sama-sama melalui proses pembentukan Malaysia, duduk dalam jawatankuasa untuk menentukan bagaimana mereka akan mengambil bahagian dan menyertai Malaysia sebagai rakan.”

Namun, keputusan Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 sangat mengecewakan Fuad.

Sehari kemudian, beliau menulis surat kepada Lee. Salinan surat itu ditemui beberapa dekad kemudian oleh kakak Asgari, Faridah.

“Saya rasa seperti mati. Air mata, hati yang hancur, benar-benar hilang arah dan berasa dikhianati,” tulis Fuad sambil mengenang tahun-tahun yang dihabiskannya meyakinkan rakyat Sabah untuk menerima gagasan Malaysia.

Tun Fuad Stephens

Fuad terkorban dalam nahas pesawat ‘Double Six’ pada 6 Jun 1976 bersama anak sulungnya Johari dan sembilan yang lain. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle)

Kemudian, tragedi melanda pada 6 Jun 1976.

Pesawat yang membawa Fuad, anak sulungnya Johari serta sembilan yang lain terhempas di Kota Kinabalu, mengorbankan semua yang berada di dalamnya. Nahas itu kemudian dikenali sebagai tragedi ‘Double Six’.

Fuad ketika itu berusia 55 tahun dan baru beberapa minggu memulakan penggal keduanya sebagai ketua menteri Sabah.

Beberapa menteri negeri turut terkorban dalam nahas itu, menjadikan kehilangan tersebut lebih besar bagi Sabah.

Asgari yang ketika itu belajar di sekolah berasrama di Australia dimaklumkan oleh ketua asramanya pada awal pagi keesokan harinya bahawa bapa dan abangnya telah meninggal dunia.

Katanya, selama kira-kira lima tahun selepas tragedi itu, mereka yang ditinggalkan seolah-olah hidup dalam ‘awan hitam’.

Masa bersama keluarga yang sebelum itu dipenuhi kunjungan ke pantai, menaiki bot dan gelak ketawa bertukar menjadi suasana yang amat sunyi.

Ditanya apa yang mungkin difikirkan bapanya jika melihat Sabah hari ini, Asgari percaya Fuad mungkin akan menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang amat mengecewakan.

“Kita dahulu antara negeri terkaya, tetapi sekarang kita antara yang termiskin. Selepas bertahun-tahun merdeka, saya rasa keadaan ini mengejutkan.

“Dengan segala sumber yang kita miliki, keadaan tidak sepatutnya menjadi begini.”

Asgari Stephens

Hampir setengah abad selepas kematian bapanya, Asgari terus mengenang legasi Fuad serta Sabah yang diimpikannya. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle)

Namun, Asgari masih melihat sebahagian daripada cita-cita bapanya mengenai Sabah yang berbilang kaum kekal hidup menerusi hubungan masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang terus bergaul dengan bebas.

“Saya berharap ahli politik Sabah dapat bersatu dan benar-benar bertindak demi semua rakyat Sabah. Sejak kebelakangan ini, saya berasa lebih optimistik,” katanya.

Bagi Asgari, Hari Malaysia membawa rasa bangga terhadap legasi bapanya, namun pada masa sama diselubungi kesedihan memikirkan apa yang mungkin berlaku sekiranya sejarah mengambil jalan berbeza.

“Kalau Singapura tidak keluar, kalau bapa saya tidak meninggal dunia, mungkin keadaan akan berbeza. Saya suka membayangkan bahawa semuanya mungkin berbeza,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.