KPM akan cadang semakan syarat pemilikan pusat tuisyen

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyemak semula struktur pemilikan pusat tuisyen.
Langkah ini menyusul kebimbangan berhubung syarat 30% ekuiti Bumiputera bagi tujuan pembaharuan lesen pusat tuisyen pada 2027.
“KPM berpandangan ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia.
“Sehubungan itu, KPM akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu depan,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, ia mengambil maklum pandangan berhubung syarat itu dan sentiasa terbuka mendengar pandangan semua pihak.
Ia turut menzahirkan penghargaan kepada pengusaha pusat tuisyen atas sumbangan mereka selama ini dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memajukan lagi bidang pendidikan.
Isu ini timbul awal minggu ini selepas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendedahkan garis panduan KPM yang didakwa mensyaratkan pusat tuisyen mempunyai 30% ekuiti Bumiputera untuk memperbaharui lesen tahun depan.
Lee menggesa KPM menjelaskan asas bagi syarat itu dan berbincang dengan pengusaha pusat tuisyen, selain memberikan panduan jelas berhubung pelaksanaannya.
Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) dan sarjana bebas, Sharifah Munirah Alatas mengkritik syarat itu serta menggesa KPM membatalkannya.
Presiden Magpie, Mak Chee Kin, mempersoalkan kewajaran mewajibkan perniagaan sedia ada — ada yang beroperasi berpuluh tahun — untuk melepaskan 30% pemilikan mereka demi meneruskan operasi.
Sharifah pula berpendapat, dasar itu berisiko menimbulkan sentimen perkauman dalam sektor pendidikan dan tidak semestinya menggalakkan keusahawanan Bumiputera tulen.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.