Kebakaran paya gambut di Pengerang merebak

Kebakaran kira-kira 29 hektar paya gambut di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang, Kota Tinggi petang tadi merebak ke kawasan seluas 54.1 hektar setakat 9 malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor memaklumkan operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor.
“Di Sektor A, anggota melaksanakan kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan pam angkut, menggunakan sumber air terbuka.
“Di Sektor B, operasi turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai serta BBP Penawar menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dan dua pancutan daripada pam water tanker,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Jelasnya, operasi pemadaman giat dijalankan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Lima belas anggota menyertai operasi malam ini yang diketuai Komander Operasi, Noor Ikhson Shukor dan dipantau Baharuddin Idris selaku komander operasi kanan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.