3 ditahan intip telefon Prabowo

Polis Indonesia menahan tiga suspek berhubung dakwaan pintasan komunikasi haram yang menyasarkan Presiden Prabowo Subianto dan beberapa individu berprofil tinggi, termasuk pegawai kerajaan, ahli politik, pemimpin perniagaan serta wakil media antara 2025 hingga 2026.
Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim), Asep Safrudin, berkata suspek didakwa mengarahkan nombor telefon dimasukkan ke Sistem Pengurusan Pintasan Sah milik polis tanpa melalui prosedur pengesahan ditetapkan.
“Antara 2025 hingga 2026, suspek didakwa mengarahkan operasi pintasan komunikasi tanpa permohonan bertulis daripada penyiasat atau laporan polis berkaitan.
“Pintasan komunikasi itu dilakukan tanpa sebarang kaitan dengan aktiviti penguatkuasaan undang-undang, manakala rekod operasi berkenaan kemudiannya dipadamkan pada Oktober 2026,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Seorang pegawai yang mengetahui kegiatan itu membuat laporan polis pada 30 Okt lalu.
Asep hanya mengenal pasti suspek menerusi singkatan nama mereka, LSP, ASN dan EH, sambil memaklumkan ketiga-tiganya ditempatkan di pusat tahanan Bareskrim.
Media Indonesia mengenal pasti suspek sebagai bekas ketua polis negara yang kini memegang jawatan ketua staf presiden, Listyo Sigit Prabowo; Ketua Bahagian Undang-undang Polis Nasional, Ahrie Sonta Nasution; serta pengajar kanan polis, Eko Hadi Santoso.
Asep berkata, penyiasat menyoal siasat 10 saksi dan tiga saksi pakar serta merampas 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu kilat USB.
Jelasnya, seorang lagi individu dikenal pasti sebagai SU masih disoal siasat sebagai saksi.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Kanun Jenayah serta Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik yang meliputi dakwaan pintasan komunikasi tidak sah, akses tanpa kebenaran kepada sistem elektronik serta pemadaman maklumat elektronik.
Kesalahan itu masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, enam tahun dan lapan tahun.
Mengenai motif di sebalik dakwaan pintasan komunikasi itu, Asep berkata, siasatan masih di peringkat awal.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.