2 rentung kereta terbabas, terbakar di Johor

Dua rentung, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki terbakar berhampiran Permas Jaya Golf Club menghala ke Bakar Batu, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Razali Hussein, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.35 pagi.
Sebaik tiba di lokasi, jelasnya, sebuah Mercedes dipercayai terbabas dan terbalik di tepi jalan, sebelum terbakar sehingga 90%.
“Lima mangsa terbabit dalam kejadian itu, dengan tiga daripadanya berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun yang melecur di bahagian kaki dan tangan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa cedera dibawa ke hospital oleh orang awam dan seorang lagi mangsa selamat.
Menurutnya, dua mangsa ditemui rentung dalam kereta itu, tetapi identiti mereka belum dapat dikenal pasti dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.