CNN TürkMurat Boz ve Demet Özdemir'den yardım çağrısı! 'DUALARINIZI EKSİK ETMEYİN'ESPN👀 College Football Bottom 10: Texas takes major fallESPN DeportesPhillies contrata a Don Mattingly como mánagerThe Jerusalem PostUS Space Force electromagnetic weapons played key role in Venezuela, Iran operations - reportPunchTinubu campaign: Accord leaders urge Adeleke to clarify loyaltyInquirerUnified PWD ID uses QR codes to prevent fraud한겨레올림픽공원 내 국립스포츠박물관 개관…88 굴렁쇠·서윤복 금메달 등 소장UOLNúmero de mortos pela tempestade tropical Rachel no México sobe para oitoZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioNew Straits TimesBYD driver charged over crash that killed five-year-old girl경향신문‘빵의 도시’ 대전, 17~18일 빵축제 연다···성심당 등 동네빵집 120곳 대표 빵 선보여النهارمسوّدة بيان النواب السنة عن المجلس الدستوري ... ماذا وراءها؟
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, October 15, 2026

Bahasa belanjawan, lingua franca Melayu global

Translate

tajuddin rasdi

Dalam artikel ini saya ingin mengulas tulisan sahabat saya A Kathirasen berjudul Poets, Philosophers and Policy: The moral language of Budget 2027, yang mengupas bahasa falsafah, puisi dan agama dalam belanjawan Anwar Ibrahim. Mesej artikel tersebut adalah bacaan penulis sendiri betapa Anwar cuba memberi suatu mesej ‘kemanusiaan sejagat’ dalam terjemahan fiskal dan angka-angka wang ringgit dalam alokasi-alokasi masing-masing.

Kathirasen ingin menarik perhatian kepada asas bahawa belanjawan adalah aspek kematangan kemanusiaan, bukan semata-mata wang kocek di sini dan sana untuk dihabiskan. Penulis veteran itu juga ingin mengkiaskan usaha Anwar untuk mensejagatkan isu keperluan daripada pengasingan perkauman. Dalam artikel ini saya akan memanjangkan tafsiran Kathirasen dengan membawa mesej saya sendiri, iaitu, bahasa dan rujukan yang digunakan membawa konsep pemerintahan dan penjagaan negara memerlukan suatu bahasa Melayu-global.

Ada dua aspek yang ingin saya sentuh tentang penggunaan rujukan pelbagai kaum dan agama serta pelbagai sumber ketamadunan manusia dari kitab suci agama, kepada falsafah pemikir dan puisi pujangga. Pertama adalah tuduhan ‘liberal’ kepada sesiapa Melayu Muslim yang menggunakan sumber pemikiran atau falsafah dan refleksi spiritual daripada selain sumber Islam.

Keduanya adalah apakah yang saya maksudkan sebagai bahasa lingua franca Melayu global sebagai hamparan kepada pemikiran Anwar sebagai intelek Melayu-Islam.

Yang pertama adalah tuduhan yang selalu diajukan kepada sesiapa yang membawa argumen atau perbahasan atau konsep daripada pemikiran, refleksi dan falsafah dari selain Islam Sunni akan membawa tuduhan ‘liberal’ dan merosakkan serta menyesatkan orang Islam. Sebagai seorang ilmuan seni bina, saya amat memahami keperluan menggunakan sumber-sumber konsep, pemikiran dan prinsip-prinsip seni bina dari Barat seperti pemikiran Frank Lloyd Wright, Louis Sullivan, William Morris, Walter Gropius, Mies van der Rohe dan Le Corbusier. Sumber-sumber falsafah dan pemikiran dari Amerika Syarikat, England, Perancis dan Jerman amat perlu saya garapkan dalam memikir semula teori atau prinsip seni bina Islam, seni bina Malaysia dan seni bina Melayu moden.

Peminjaman pemikiran dari sumber luar atau lain dari kaum dan agama kita sendiri bukan bermaksud mengagungkan atau mengkiblatkan Barat atau Timur tetapi memberi pengiktirafan bahawa bangsa-bangsa manusia yang lain melalui pemodenan dan kesedaran dalam tahap yang berbeza serta waktu yang lebih awal dari kita di Malaysia. Arus revolusi industri meranapkan hubungan masyarakat dan pemerintah serta pemikiran ‘enlightenment’ pula mencabar tafsiran kehidupan, kosmos dan geografi duni daripada hanya interpretasi gereja sahaja.

Negara kita di rantau ini, walaupun mempunyai segala macam telefon pintar, AI, serta teknologi baharu yang terkini masih melalui suatu pertembungan antara pemikiran sains, politik dan agama yang telah dilalui orang di Barat dunia lebih 200 tahun sebelumnya.

Kita Melayu sampai lewat sikit. Maka itu penggunaan serta peminjaman konsep, istilah dan pemikiran daripada selain Islam menggambarkan keupayaan seorang Melayu menggarap dan membentuk suatu belanjawan yang bernyawakan moral, wawasan jauh dan ketamadunan kemanusiaan.

Belanjawan negara adalah bukan semata-mata belanjawan korporat yang tahu untung rugi sahaja. Maka itu adalah tidak wajar pada sesiapa yang akan menuding jari “nah itu bunyi orang Melayu-Islam liberal” ataupun “nah itu bunyi orang yang dijajah pemikiran kolonial dari Barat dan dari sumber musuh Islam”.

Sebagai ilmuan, semua para cerdik pandai tahu bahawa kebenaran merentasi kaum dan agama kerana kaum dan agama yang difahami itu telah disempitkan oleh golongan yang disuruh menjaga integriti warisan tersebut. Namun demikian, penjaga warisan ugama yang berpendidikan tidak pelbagai disiplin dan ilmu hanya dapat melihatnya dengan satu belah teropong sahaja.

Perkara kedua adalah bagaimana Anwar memainkan peranan seorang Melayu global dan bukan Melayu-parti atau Melayu-ustaz. Untuk menjadi suatu bangsa yang berjaya, orang Melayu perlu mengetahui pelbagai sumber pemikiran yang datang dari pelbagai bangsa dan budaya. Seperti juga Hang Tuah yang telah memohon ayahandanya untuk beliau mempelajari lebih daripada 10 bahasa asing. Melayu yang mempunyai akses kepada pemikiran daripadapelbagai sumber lain tidak akan terbantut kepada retorik perpaduan Melayu untuk kuasa serta kesucuan agama tanpa kematangan global dan menyeluruh. Saya sering mengajar pelajar PhD bahawa semua ilmu adalah tafsiran orang yang hendak menggunakannya pada ketika itu dan dalam konteks kefahaman teknologi, sains dan budaya manusia selainnya sahaja. Maka, sesuatu ilmu seperti ilmu agama boleh diperluaskan atau diperkecilkan mengikut kehendak seseorang. Ilmu perlu melimpah kepada pemikiran dan tafsiran setiap masa berubah dan juga perubahan untuk berpindah kerana situasi semasa.

Akhir sekali, saya mencadangkan janganlah kita terlalu pantas menghukum ‘sesat’ atau ‘liberal’ kepada sesiapa hanya kerana mereka menggunakan istilah luar yang kita sendiri tidak tahu hujung pangkal. Perkara pokok yang perlu dijiwai daripada artikel saya dan Kathirasen adalah belanjawan bukan semata-mata angka yang diagih-agihkan kepada semua kememterian. Seperkara lagi adalah penggunaan istilah, konsep dan falsafah yang merentasi jurang kaum, agama dan budaya adalah keupayaan berfikir luar daripada kepompong tradisi. Hanya dengan percampuran dan menjunamkan diri ke dalam budaya lain maka barulah kita boleh menggarap solusi baharu serta arah tuju sama yang cekal dan kental.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.