DSP dipenjara 7 tahun 6 bulan sebabkan kematian pelajar

Pegawai polis berpangkat deputi superintendan Mohd Nazri Abdul Razak dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan selepas mengaku salah atas pertuduhan membunuh pelajar Tingkatan 5, yang dipinda kepada menyebabkan kematian tanpa niat.
Nazri, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Bhupindar Singh Gurcharan Singh, lapor Kosmo.
Tertuduh diperintah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Dis 2023.
Terdahulu, Bhupindar Singh meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dipinda kepada Seksyen 304(b) kanun sama.
Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Pada 18 Dis 2023, Nazri yang bertugas di IPK Kedah didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif, 17, dengan mengetahui perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.
Dalam kejadian itu, Zaharif maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya didakwa dikejar dan dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta.
Laporan bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di dada dan abdomen.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.