Tak puas hati kerajaan boleh keluar Kabinet, Amanah beritahu BN

Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan kerajaan perpaduan diminta keluar daripada Jemaah Menteri tanpa perlu menunggu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memecat mereka, kata Khalid Samad.
Pengarah komunikasi Amanah berkata, pemimpin BN sepatutnya menunjukkan prinsip dan pendirian jelas, jika tidak lagi boleh menerima kepimpinan Anwar.
Tegasnya, tidak wajar mereka terus mengkritik kerajaan dan pada masa sama kekal dalam pentadbiran.
“Kalau rasa sudah kuat dan tidak boleh menerima Anwar sebagai perdana menteri, tunjukkan harga diri. Jika asyik mengkritik dan memburukkan kerajaan, sila keluar. Tiada siapa yang menghalang.
“Mereka ini jenis yang mahu mengambil kesempatan, hendak kekal dalam kerajaan, tetapi pada masa sama mengkritik kerajaan. Ini sikap tidak berprinsip. Kalau ada harga diri dan prinsip, sila keluar,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di sini.
Beliau mengulas sikap sesetengah pemimpin BN mengkririk kepimpinan Anwar dalam mentadbir negara.
Pada 27 Sept lalu, Pengerusi BN, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerjasama gabungan itu dengan kerajaan perpaduan akan ditamatkan sebaik saja Parlimen dibubarkan.
Beliau berkata, kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri.
Dalam perkembangan lain, Khalid yang juga pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya menyasarkan beberapa kerusi Parlimen bukan milik Pakatan Harapan untuk ditandingi pada PRU16, antara Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan.
“Kalau ditawarkan, memang kita sanggup.”
Bagaimanapun, katanya, perbincangan agihan kerusi PRU16 masih terlalu awal memandangkan tumpuan parti ketika ini ialah PRN Melaka.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.