PunchRansom economy: How kidnappers turn northern families’ pain into profitESPN DeportesCambindo, con doblete y el León se enfila al triunfoוואלהגבר כבן 70 נפצע קשה באשקלוןESPNDodgers seal 14th consecutive playoff berth, 'one of the goals'The Jerusalem PostMahmoud Khalil sues Columbia University for alleged failure to protect pro-Palestinian studentsInquirer6th most wanted in Oriental Mindoro arrested한겨레“철탑 2214개 줄이고 송전망 마을엔 연 300만원”… ‘송전망 갈등’ 해법 될까SözcüÜnlü iş adamının 20 milyon dolarlık jeti Libya’da yandıRapplerLIVE UPDATES: First BARMM parliamentary electionsStraits Times SportGold or bust: Team Korea chase more Asian Games glory in football, baseballBillboardDolly Parton Remembered by Reba McEntire & Sally Field on 2026 Emmys: ‘I Never Stopped Loving Her’Globo EsporteVila Nova sai na frente, e Avaí busca o empate em Florianópolis
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, September 15, 2026

Penderhakaan terhadap Yamtuan Besar Negeri Sembilan menurut Undang-undang Sungai Ujong

Translate

faisal tehrani

Saya memerhati dari jauh perangai dan tindak-tanduk Mubarak Dohak iaitu Undang Luak Sungei Ujong ke-10 yang telah dipecat Waris dan Ibu Soko pada April 2026 lalu terus-terusan bersekongkol dengan bekas Undang dari Rembau, dan Jelebu; bersama-sama Undang Johol untuk menjatuhkan Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sungai Ujong adalah Luak terbesar dalam Negeri Sembilan, dan Undang Luak ini dianggap paling kanan sekali dalam sistem adat Negeri Sembilan yang unik itu. Bahkan Sungai Ujong lebih teratur dokumentasi undang-undang adatnya berbanding yang lain. Terdapat rekod bertulis undang-undang purbakala ini dengan nama ‘Undang-undang Adat Sungei Ujong’ yang pernah direkodkan oleh Richard Winstedt dan Josselin de Jong pada tahun 1954. Justeru Undang-undang Adat Sungei Ujong ini sering dianggap lebih dominan dan merupakan induk rujukan kepada semua pengamal adat di negeri tersebut.

Sekiranya para pembesar adat di Negeri Sembilan memberi perhatian dan benar-benar membaca Undang-undang Sungei Ujong ini saya percaya bekas Undangnya, dan mantan Undang yang lain akan segan silu bertindak melulu cuba menjatuhkan Tuanku Muhriz.

Secara keseluruhan dan terperincinya, Undang-undang Sungei Ujong ini adalah sebuah dokumentasi hukum adat, hukum syara dan perlembagaan hati manusia berbanding perlembagaan siasah dan kepimpinan. Malah teks Undang-undang Sungei Ujong jika diberi perhatian akan membawa kita kepada pengajian tasawuf yang kental. Terdapat banyak tazkirah atau peringatan untuk jiwa yang rosak, dan kacau moral.

Namun begitu, terlepas dari tujuan sebenar Undang-undang Sungai Ujong ini yang bertujuan untuk mengatur cara hidup manusia di Luak, ia tetap memberi panduan kepada pengamal adat bagaimana caranya berhubungan, atau berurusan dengan Raja di Negeri Sembilan iaitu Yamtuan Besar, atau juga disebut Yang Dipertuan Besar.

Pada pengenalan teks undang-undang ini diberi peringatan yang undang-undang ini adalah supaya manusia mengetahui martabatnya, agar selamat dunia akhirat memandangkan peranan akal amat penting.

Di dalam Undang-undang Sungei Ujong, peranan dan kedudukan Yamtuan Besar sebagai kuasa pemutus, satu hak raja, sangat jelas. Petikan Undang-undang Sungai Ujong menyatakan begini:

‘Jikalau berseliseh segala negeri atau teluk atau laras dan lagi beting rantau, maka kusut yang akan menyelesaikan, kerok yang akan menjernihkan, hilang yang akan mencari hanyalah daulat Yang Dipertuan. Maka penghulu dan hulubalang semuanya mengiringkan Raja sahaja: di sanalah raja segala alam; yang lain daripada-Nya itu mendapat kebesaran daripadanya sahaja.’

Adat dalam perspektif Undang-Undang Sungai Ujong sebenarnya adalah sumber hukum keagamaan. Jelas di dalam teks purba itu dipetik begini:

‘Ada pun biasa pada kita: rantau yang beraja, luak yang berpenghulu, rapat negeri yang bertua-tua. Dan lagi biasa pada kita: pada adat menghilangkan yang buruk, menimbulkan yang baik: kata shara’ (al-amru bi’l ma’rufi wa’l nahyu an’il-munkari) menyuruhkan berbuat baik dan menegahkan berbuat jahat, itu pun utang (nota pengarang: Tanggungjawab) juga pada kita.’

Jika para pembesar adat Negeri Sembilan betul-betul merenungkan Undang-undang Sungei Ujong, mereka akan menemui perenggan yang menegaskan keadilan sangat dititik-beratkan dalam cara hidup pengamal adat:

‘Karna kata firman Allah taala: Wa idha hakamtum baina-l nasi an tahkumu bi’l-adli, Apabila engkau menghukumkan di antara manusia, hendaklah engkau hukumkan dengan adil.
Jikalau menumbuk, di lesung
Jikalau bertanak, di periuk

Tetapi sekarang Dato-dato sudah menumbuk di periuk, sudah bertanak di lesung, alamat negeri yang kusut, penghulu zalim di dalam negeri…’

Ayat akhir di atas bukanlah diada-adakan, dan memang ada sesungguhnya di dalam Undang-undang Sungai Ujong. Memerhatikan tindak-tanduk bekas Undang Sungai Ujong, dan Undang lainnya kita tertanya-tanya, letak duduk dan kefahaman mereka mengenai kuasa, tanggungjawab, peranan akal, perihal moral dan juga kewarasan hukum-hakam. Banyak tahun dahulu, undang-undang purbakala ini telah pun menegur perangai penghulu yang bukan-bukan begini.

Kita biasa mendengar Adat Perpatih sangat menekankan muafakat. Akan tetapi apakah itu muafakat menurut adat?

Undang-Undang Sungai Ujong ada memberi definisi muafakat tersebut. Menurut teks lama ini, muafakat adalah:

‘Ada pun erti muafakat itu, kata bercari, sekarang itu jua. Apabila hasil pencarian segala orang yang berakal di dalam negeri atau di dalam medan mahajana itu, maka dizahirkan kepada orang banyak, sekarang itu jua disudahkan pula. Itulah kata muafakat.’

Dalam erti kata lain muafakat adalah hasil dialog dan diskusi orang cerdik-pandai, dalam perenggan lain di undang-undang ini dijelaskan muafakat bukan untuk orang awam (sudah tentu bukan netizen) kerana mereka ini disifatkan sebagai ‘orang yang bingong biasa mendengarkan dan mengikut’. Hasil muafakat itu dinyata, diisytiharkan dan diterima.

Terma muafakat dalam Undang-Undang Sungai Ujong ini tidak sederhana. Ia harus disandarkan ilmu, yakni orang yang pakar dan mengkaji tentunya. Saya petik dari Undang-Undang Sungai Ujong yang muafakat itu akan dirujuk silang dengan raja:

‘Kata hadith, Kullu ‘l-baladi qiyâmuhu bi ‘âdatihi, “Tiap-tiap něgěri itu měndirikan děngan ‘adat yang kawi, shara’ yang lazim. Ada kalanya běrdiri děngan muafakat; ada kala-nya běr-diri děngan ‘ilmu. Ketahui oleh-mu, hai sěgala penghulu! Pada adat dalam něgěri maka wajib-lah atas sěgala penghulu niat mendirikan, ‘adat ini pada tiap-tiap suku, la-itu kata kata raja kata melimpahkan, kata penghulu kata menyelesaikan, kata alim kata hakikat, kata pěgawai kata běrhubong, kata orang banyak kata běrbalik-balık, kata hulubalang kata měnukas…’

Perhatikan muafakat dikembalikan awalnya kepada raja yang kata atau titahnya itu ‘melimpahkan’. Apa dimaksudkan dengan ‘kata raja kata melimpahkan ini’? Di bahagian lain Undang-undang Sungai Ujong dinyatakan:

‘Chubadak ambilkan gulai, Di-gulai dalam puasa. Apa ‘kan chupak pěgawai?

Běroleh titah daripada raja.
Dan jikalau něgěri tiada běraja, ikut-lah kata hadith
Mělayu:-
Orang Měkkah měmbawa těraju;
Orang Baghdad měmbawa tělor;
Di-makan dalam puasa.
Rumah yang běrsěndi batu,
Adat yang běrsěndi halur,
Itu-lah akan raja.’

Dalam kutipan di atas, adalah jelas, raja adalah punca kuasa dan kuasa pemutus dalam Undang-undang Sungei Ujong, untuk tiap pentadbiran ‘beroleh titah daripada Raja’ dan jikalau tiada beraja, barulah dirujuk adat. Adat itu pula hendaklah ada alur atau prosedurnya. Itulah pula tertib atau raja. Kesalahan membelakangkan Raja adalah besar, ia bukan kecil. Kesalahan pada penghulu atau Undang mungkin memerlukan kebertanggungjawaban, tetapi kepada Raja ia dianggap satu yang berat:

‘Luak yang berpenghulu,
Alam (nota pengarang: negeri) yang beraja,
Těgak yang tidak tersondak
Mělenggang yang tidak berpapas.
Mělintang patah,
Měmbujur lalu.
Salah pada Raja mati,
Salah pada pěnghulu běrutang.’

Di dalam Adat Perpatih, juga dalam Undang-undang Sungei Ujong, membantah atau melawan raja itu jatuh di bawah kategori ‘daga dan dagi’. Daga adalah asung empang atau melawan dan mengggendalakan. Manakala dagi pula bermakna kichang-kichok atau memutarbelit, menyeleweng dan menipu-helah.

Semua perbahasan yang saya ungkapkan di atas sesuai dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Keadilan pada 14 Sept 2026. Bahawa usaha menurunkan Yamtuan Besar Negeri Sembilan adalah satu bentuk penderhakaan, dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan kedudukan pembesar adat yang melakukan jenayah adat ini.

Dari perspektif negara moden kita, Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan yang mengancam keselamatan negara atau kedudukan institusi beraja. Seksyen 121 memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup bagi mereka yang melancarkan, cuba melancarkan atau bersubahat melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, raja atau Yang di-Pertua Negeri. Seksyen 121A pula berkaitan tindakan yang bertujuan menjatuhkan atau menjejaskan institusi beraja, manakala Seksyen 121B memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 20 tahun serta denda bagi tindakan yang bertujuan menjejaskan kuasa atau kedaulatan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja.

Selain itu, Akta Hasutan 1948 (Akta 15) menjadi antara undang-undang utama dalam menangani perbuatan, ucapan, penerbitan atau hantaran yang mempunyai kecenderungan menimbulkan kebencian, penghinaan atau perasaan tidak setia terhadap Raja atau Kerajaan. Ini termasuk kandungan media sosial yang menghina institusi diraja. Pesalah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara, dengan hukuman lebih berat jika perbuatan tersebut berpotensi menyebabkan kecederaan fizikal atau kerosakan harta benda.

Hasil muafakat Dewan Keadilan tersebut seharusnya menjadi penutup kepada siri penderhakaan yang paling berani, nekad, teratur dan bermuslihat dalam sejarah moden Malaysia. Penderhakaan celaka ini malangnya didukung oleh beberapa parti dan tokoh politik yang memanipulasi naratif politik dan sistem pilihan raya. Semoga mereka diadili dan dihakimi segera.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.