Cerun Taman Seri Permai tiada tanda risiko runtuh semula, kata MBPP

Kawasan cerun di Taman Seri Permai, Paya Terubong yang runtuh semalam sehingga mengorbankan seorang doktor tidak menunjukkan tanda berisiko runtuh semula selepas hujan berhenti malam tadi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A Rajendran, berkata pemantauan rapi masih perlu dilakukan kerana hujan berterusan boleh melemahkan struktur tanah dan meningkatkan risiko kejadian itu berulang di kawasan terbabit.
“Pihak pemaju mengalihkan paip air ke lokasi lebih selamat kerana air dari bukit sebelum ini tidak disalurkan melalui saluran sepatutnya dan memasuki kawasan berhampiran tapak.
“Setakat ini, cerun berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda kelemahan, tetapi kita masih perlu berhati-hati kerana hujan berterusan boleh menyebabkan keadaan cerun menjadi lebih lemah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat biasa MBPP di Dewan Bandaran, di sini.
Dr Wong Kar Lin, 73, terkorban selepas tertimbus akibat tanah runtuh yang menjejaskan rumahnya pada 8.36 pagi semalam, manakala isterinya Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya Wong Poh Lim, 80-an, terselamat.
Rajendran berkata, MBPP turut mengarahkan pemaju projek di sana melaksanakan kerja mitigasi bagi meningkatkan tahap keselamatan dan jurutera MBPP menjalankan pemeriksaan tapak bersama perunding bagi memastikan keselamatan cerun, khasnya ketika hujan berterusan.
Jelasnya, siasatan dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, dengan tempoh siasatan dijangka sekurang-kurangnya tiga bulan, bergantung kepada keadaan serta hasil pemeriksaan.
Mengulas dakwaan penduduk pernah membuat aduan berhubung cerun itu kepada MBPP, beliau berkata, pihaknya mempunyai kumpulan WhatsApp bersama penduduk bagi membolehkan aduan disampaikan kepada pemaju untuk tindakan segera.
Setakat ini, katanya, pemaju mematuhi arahan serta nasihat diberikan, sementara MBPP telah mengeluarkan surat peringatan kepada pemaju dan kontraktor sejak bulan lalu untuk meningkatkan langkah keselamatan di tapak pembinaan sebagai persediaan menghadapi tempoh peralihan monsun timur laut.
Beliau berkata, keadaan cuaca pada Oktober yang lazimnya menyaksikan hujan berpanjangan meningkatkan risiko kegagalan cerun apabila air meresap ke dalam tanah dan melemahkan strukturnya.
“Bagi kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah semalam yang menyebabkan dua kereta terjejas, insiden itu bukan berpunca daripada kerja pembinaan, sebaliknya melibatkan cerun lama yang mengalami kerosakan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.