Belum ada perbincangan rasmi PH-Bersatu, kata Fahmi

Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan perbincangan rasmi mengenai kerjasama dengan Bersatu di sebalik pertemuan pemimpin kedua-dua pihak di sebuah hotel di Melaka, malam tadi.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata sebarang keputusan mengenai kerjasama politik akan diputuskan melalui majlis presiden gabungan itu.
“Setakat ini kita tunggu majlis presiden. Belum ada apa-apa perkembangan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pembiayaan inisiatif ubat melalui pos (UMP) di Kementerian Komunikasi.
Ketua penerangan PKR itu berkata, beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai pertemuan berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.
“Saya belum terima apa-apa maklumat. Berdasarkan laporan media, ia hanya sesi makan malam.
“(Pertemuan itu) tak dibincangkan dengan saya. Saya tak hadir, saya tak ada maklumat,” katanya.
Antara pemimpin Bersatu dilaporkan hadir dalam pertemuan itu Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz, Pengarah Pilihan Raya Mohammad Ali Mohamad, Ketua Sayap Bersekutu R Sri Sanjeevan dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim.
Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Ketua PKR Melaka Adam Adli juga hadir.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pihaknya akan menggunakan formula ‘PH Plus’ pada PRN dengan bekerjasama parti lain yang sehaluan, namun setakat ini tidak melibatkan Barisan Nasional (BN).
Katanya, perbincangan dengan Bersatu mengenai kerjasama politik masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad, dengan rundingan berpandukan ketetapan Majlis Presiden PH.
Pada 24 Sept, Tun Faisal berkata rundingan mengenai pakatan pilihan raya bersama parti lain menjelang PRN Melaka masih berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat pada 7 Okt bagi membincangkan urusan pelaksanaan PRN Melaka ke-16 susulan pembubaran DUN pada 23 Sept.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.