Jerebu makin pulih, 8 kawasan catat IPU tak sihat

Situasi jerebu di Malaysia Barat bertambah baik setakat 8 pagi ini dengan hanya lapan kawasan di Semenanjung mencatatkan kualiti udara tidak sihat.
Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tertinggi dicatatkan di Johan Setia, Selangor pada 156, manakala kawasan lain di Lembah Klang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Shah Alam (154), Putrajaya (152), Klang (152), dan Cheras (149).
Bacaan IPU di kawasan seperti Petaling Jaya dan Banting mendekati tidak sihat, iaitu 99.
Kawasan lain mencatatkan bacaan tidak sihat adalah di Negeri Sembilan, iaitu Nilai (153), Seremban (122), dan Port Dickson (122).
Kebanyakan kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala enam kawasan merekodkan udara baik: Balik Pulau, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah; serta Miri, Sibu, Sarikei, dan Limbang di Sarawak.
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat, dan 301 ke atas sebagai berbahaya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.