Pakar percukaian seru kerajaan utama pembangunan padanan data, penilaian risiko
Pakar percukaian menyeru kerajaan memberi keutamaan kepada membangunkan padanan data dan penilaian risiko bersama, bagi meningkatkan keberkesanan perkongsian maklumat antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kastam.
Mengambil perkongsian data e-Invois sebagai contoh, Fairuz Abdul Razak, berkata keberkesanan perkongsian maklumat daripada MyInvois dengan kastam bergantung pada sejauh mana LHDN dan kastam dapat memadankan rekod, mengesan percanggahan yang wajar disiasat, dan menyelaraskan tindakan susulan.
“Sebagai contoh, data e-Invois boleh membantu mengenal pasti transaksi perkhidmatan bercukai yang wajar disemak dengan penyata SST. Perbezaan angka perlu dinilai dengan mengambil kira skop cukai, pengecualian dan tempoh pelaporan. Transaksi yang langsung tidak direkodkan, termasuk sebahagian urus niaga tunai, masih memerlukan risikan dan penguatkuasaan di lapangan,” katanya kepada FMT.
Rakan kongsi utama di firma perakaunan Fairuz & Co itu mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak bercadang menggabungkan LHDN dan kastam bagi mewujudkan agensi percukaian tunggal.
Sebaliknya, kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan tadbir urus melalui sistem kutipan hasil cukai negara di bawah LHDN dan kastam seperti perkongsian maklumat dan penguatkuasaan bersama supaya ianya lebih cekap dan mapan dalam menangani ketirisan hasil.
“Keutamaan saya ialah membangunkan padanan data dan penilaian risiko bersama. Rekod MyInvois, SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dan pengisytiharan kastam perlu boleh dipadankan menggunakan TIN (nombor pengenalan cukai) dan pengenal lain yang relevan. Akses kepada data itu perlu dihadkan mengikut tujuan dan direkodkan. Hasil padanan boleh membantu kedua-dua agensi memilih kes berisiko tinggi untuk semakan lanjut.
“Kerajaan juga perlu mengukur hasil kerjasama ini dari sudut kutipan dan kos pematuhan. Antara ukuran yang praktikal ialah tempoh penyelesaian audit, bilangan permintaan dokumen berulang dan hasil yang benar-benar dikutip daripada kes bersama. Bagi PKS (rerusahaan kecil dan sederhana), panduan bersama dengan contoh transaksi sebenar boleh membantu mereka membetulkan kesilapan lebih awal,” katanya.
Mengulas lanjut, Fairuz berkata LHDN dan kastam perlu menyelaraskan skop, tempoh dan jadual audit apabila kedua-duanya menyemak pembayar cukai yang sama.
“Untuk kes yang melibatkan transaksi atau dokumen yang sama, saya cadangkan prinsip ‘minta sekali sahaja’. Dokumen yang sudah diterima oleh satu agensi boleh digunakan oleh agensi lain setakat yang dibenarkan undang-undang dan tertakluk kepada perlindungan kerahsiaan. Bagi kes yang sesuai, satu pegawai penyelaras boleh mengurus permintaan dokumen dan komunikasi dengan pembayar cukai.
“Jika kedua-dua agensi meneliti transaksi yang sama, mereka boleh berpandukan fakta dan dokumen yang sama, sambil menerapkan undang-undang masing-masing. Sebagai contoh, harga pindahan bagi tujuan cukai pendapatan dan nilai kastam bagi barang import boleh berbeza. Jika itu berlaku, pembayar cukai perlu diberi penjelasan yang jelas tentang asas penilaian setiap agensi,” katanya.
Manfaatkan AI tangani ketirinan
Sementara itu, pakar ekonomi menyarankan kerajaan memanfaatkan kecerdasan buatan bagi menangani ketirisan hasil. Ida Yasin di Putra Business School berkata beliau percaya ketirisan hasil antaranya disebabkan oleh ketidaksampaian maklumat, mengambil contoh individu atau syarikat yang lari daripada cukai atau eksport-import yang tidak dapat dikesan.
“Ketirisan ini kebanyakan kes adalah isu manusia,” katanya.
Mengulas tentang agensi percukaian tunggal, Ida berpandangan cadangan itu sesuatu yang wajar dikaji secara terperinci dari sudut fiskal dan produktiviti. “Ia mestilah merupakan pelan jangka sederhana, jika bukan pelan jangka panjang atau jangka sederhana. Pelan jangka pendek ini agak sukar sedikit, tetapi saya fikir ini satu idea yang baik,” katanya.
Pada Ogos, Berita Harian memetik sumber sebagai berkata cadangan penggabungan fungsi percukaian LHDN dan kastam dikemukakan pada mesyuarat penguatkuasaan dan pematuhan berkaitan percukaian pada Jun.
Menurut laporan itu, syor penubuhan agensi percukaian tunggal dibincang dalam mesyuarat agensi hasil negara, dan masih pada peringkat pertimbangan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
