PRN Melaka: Bersatu sedia guna lambang sendiri jika PN terus digantung

Bersatu Melaka sedia menggunakan lambang sendiri pada PRN akan datang jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) terus menggantung Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, bagaimanapun berkata keputusan muktamad tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan tertinggi parti.
“Ia mengambil kira perkembangan semasa serta bentuk kerjasama politik yang mungkin dipersetujui,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan Bersatu menggunakan lambang sendiri pada PRN Negeri Sembilan Ogos lalu.
Beliau berkata, jentera Bersatu Melaka tetap bergerak dan persiapan menghadapi PRN tidak bergantung kepada persoalan lambang semata-mata.
JPPM menggantung PN Rabu lalu selepas mengeluarkan notis kepada gabungan itu untuk menjelaskan aduan dikemukakan Bersatu.
JPPM berkata, penggantungan itu bertujuan menjaga kepentingan PN daripada terus melanggar peraturan.
Kerjasama politik
Hishamuddin mengesahkan perbincangan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) sedang berlangsung di peringkat negeri dan pusat.
Katanya, Bersatu Melaka terbuka mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik yang mungkin dijalin bagi menghadapi PRN, termasuk cadangan atau kerangka “PH Plus” yang pernah dimaklumkan secara terbuka oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.
“Apa juga bentuk kerjasama, formula pembahagian kerusi atau pendekatan menghadapi PRN masih tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan, keputusan dan arahan kepimpinan parti,” katanya sambil menambah belum ada keputusan muktamad dibuat, termasuk agihan kerusi.
Beliau berkata, Bersatu memberi keutamaan kepada kerusi disandangnya, selain DUN yang mempunyai kekuatan organisasi dan potensi bersaing.
Terdahulu, Adly dipetik Bernama sebagai berkata, pembahagian kerusi antara komponen PH Melaka sudah selesai, tetapi susunan terakhir akan dimuktamadkan selepas perbincangan antara Majlis Presiden PH, PH negeri dan Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, Bersatu Melaka terus memberi sokongan kepada Radzi Md Jidin sebagai ketua Bersatu Melaka, dengan sokongan Mohamad Ali Mohamad selaku pengarah pilihan raya negeri dan dirinya sebagai pengarah bilik gerakan utama.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.