Perkasa bahasa Melayu dalam dunia digital untuk tarik minat generasi alpha

Bahasa Melayu perlu diperkasakan dalam dunia digital menerusi penghasilan kandungan kreatif dan berilmu bagi menarik minat generasi muda untuk menggunakannya, sekali gus memartabatkan bahasa kebangsaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata mereka yang lahir pada 2010 hingga 2024 atau generasi alpha, memperoleh pendedahan bahasa bukan sahaja melalui buku teks dan bilik darjah, malah menerusi video, permainan digital, animasi, muzik, kandungan penstriman dan interaksi dalam talian.
“Saya percaya bahasa Melayu mempunyai masa hadapan yang cerah, sekiranya kita berani mengubah pendekatan dan memperluas ruang penggunaannya. Kita tidak boleh sekadar meminta generasi muda mencintai bahasa Melayu.
“Kita perlu membawa bahasa Melayu ke dalam dunia digital mereka (alpha) melalui kandungan bermutu, animasi kreatif, permainan pendidikan, video pendek yang berilmu, penerbitan elektronik dan aplikasi berasaskan teknologi terkini,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Amzan Abd Malek.
Fadhlina berkata, kerajaan turut memberikan penekanan kepada pembangunan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam Belanjawan Madani 2027, khususnya komitmen kerajaan untuk menggembleng sumber kementerian, agensi dan institusi pendidikan bagi menyumbang data bahasa digital yang sahih dan beranotasi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beliau berkata, kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dengan DBP melahirkan 259 Munsyi Remaja menerusi Program Pembinaan Munsyi Remaja, selain membina 1,924 Munsyi Siswa dan 970 Munsyi Muda, di samping peranan lebih 500 orang Munsyi Dewan di seluruh negara.
Menurutnya, KPM melalui DBP turut memperluas pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam bidang penulisan, akademik serta pemartabatan bahasa dan sastera Melayu kepada pelajar institusi pengajian tinggi menerusi Anugerah Bitara DBP mulai tahun ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan memelihara tulisan Jawi sebagai khazanah persuratan Melayu yang merakam perkembangan ilmu, pemikiran dan budaya masyarakat, dengan usaha itu perlu digerakkan secara bersama oleh sekolah, ibu bapa, institusi pendidikan dan DBP.
Bagi memperkukuh usaha pemartabatan bahasa kebangsaan, Fadhlina mengumumkan KPM bersetuju menyediakan peruntukan RM10,000 kepada setiap agensi, institusi pengajian tinggi (IPT), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program pemartabatan bahasa kebangsaan pada 2027.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperluas penyertaan pelbagai pihak, memperkukuh kerjasama strategik dan menggalakkan pelaksanaan program yang berimpak tinggi sekali gus diharap dapat membina gerakan lebih tersusun dalam usaha memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan di seluruh negara.
Mengenai sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2026, Fadhlina berkata tema “Bahasa Kita Wajah Kita” mengingatkan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah mencerminkan identiti, nilai dan budaya sekali gus menjadi antara asas penting dalam membina persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan bahasa ibunda.
Pada majlis tersebut, Bernama Radio menerima Hadiah Citra Sahabat DBP 2026 sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan komitemen dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu.
Terdahulu, penganjuran berkonsepkan karnival di Padang Kota Lama itu menyediakan ruang penglibatan yang lebih luas kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti bahasa, sastera, ilmu, seni, budaya dan komuniti.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.