Perjelas dengan data, penganalisis ulas pertikaian Perbendaharaan-KKDW

Sebarang perbezaan dengan Perbendaharaan berhubung peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu diperjelaskan dengan data, bukan sekadar membuat kenyataan, kata penganalisis.
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting juga berkata jika KKDW percaya angka yang dikemukakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican tidak tepat, ketua setiausaha dan pegawai kewangan kementerian itu lebih sesuai menjelaskan percanggahan tersebut.
“Mengapa kita banyak mendengar daripada setiausaha akhbar, tetapi kurang penjelasan substantif daripada pegawai profesional kementerian?
“Dari sudut tadbir urus baik, apabila berlaku pertikaian terbuka mengenai angka kewangan sesebuah kementerian, pegawai profesional sepatutnya tampil memberikan penjelasan.
“Bukan setiausaha akhbar yang peranannya terutama melibatkan komunikasi dan politik,” katanya kepada FMT.
Zaharuddin berkata kenyataan setiausaha akhbar kepada menteri, Fadzmel Fadzil, yang menafikan KKDW berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan, adalah terlalu simplistik dan tidak secukupnya menjawab angka yang dikemukakan Perbendaharaan.
Katanya, kewangan kerajaan adalah lebih daripada sekadar peruntukan asal dan perbelanjaan sebenar, dan perlu mengambil kira peruntukan tambahan, pindahan peruntukan, komitmen kontrak, liabiliti, tuntutan serta komitmen yang dibawa ke depan daripada tahun sebelumnya.

Mazlan Che Soh dari Universiti Teknologi Mara berkata kenyataan Perbendaharaan pada asasnya merupakan penjelasan pentadbiran mengenai kedudukan peruntukan dan perbelanjaan, dan tidak wajar dilihat sebagai serangan politik.
Jika terdapat perbezaan angka antara kementerian dan Perbendaharaan, ia sepatutnya diselesaikan melalui saluran pentadbiran dengan mengemukakan data masing-masing, katanya.
“Kalau ada perbezaan data, selesaikan data dengan data, bukan persepsi dengan persepsi,” katanya.
Beliau berkata respons terlalu defensif berisiko mengubah isu teknikal pembiayaan menjadi pertikaian politik.
Pertikaian tercetus selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi mendakwa sebilangan kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah KKDW berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan, sehingga ada yang terpaksa menutup operasi akibat masalah aliran tunai.
Katanya, sebilangan kontraktor masih berdepan kelewatan bayaran walaupun sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan yang ditetapkan mengikut kontrak pembangunan.
Sebagai respons, Johan berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya.
Beliau berkata KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar, sejak 2023.
Fadzmel bagaimanapun berkata setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan.
Gesaan PRU16 awal tingkatkan suhu politik
Zaharuddin berkata reaksi setiausaha akhbar Zahid itu boleh ditafsirkan sebagai sikap defensif terhadap rekod kementerian di bawah presiden Umno itu, menjelang PRU16.
Zahid sebelum ini menggesa PRU16 diadakan lebih awal daripada menunggu Parlimen terbubar secara automatik pada hujung tahun depan.
“Jika perkara ini berlaku sekali (belanja melebihi peruntukan), kita boleh katakan ia kes terpencil. Tetapi apabila angka menunjukkan pola pada 2023, 2024 dan 2025, terdapat persoalan serius mengenai perancangan, pemantauan dan pengurusan komitmen kementerian,” kata Zaharuddin.
Beliau berkata isu ini amat signifikan kepada Umno, yang mahu menampilkan diri sebagai parti yang berkeupayaan mengurus kerajaan dan institusi negara.
Dengan Zahid kini mendesak pilihan raya diadakan lebih awal, Zaharuddin berkata pengundi pasti akan merenung prestasi beliau sebagai seorang menteri untuk menilai kredibiliti Zahid sebagai pemimpin.
“Saya tidak mengatakan semua ini kerana kelemahan Zahid seorang. Tetapi rakyat boleh bertanya: jika mengurus sebuah kementerian pun menimbulkan persoalan mengenai perancangan peruntukan dan komitmen, bagaimana pula jika beliau diberi tanggungjawab mengurus keseluruhan kerajaan?” katanya.
Zaharuddin berkata Kementerian Kewangan berada pada kedudukan lebih kukuh dalam pertikaian ini kerana kerajaan telah menjelaskan kekangan fiskal, manakala Perbendaharaan meluluskan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan bayaran tertunggak.
“RM300 juta itu menunjukkan kerajaan tidak mengabaikan kontraktor, tetapi setiap peruntukan tambahan tetap perlu datang daripada ruang fiskal yang terhad,” katanya.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata pertikaian antara KKDW dan Perbendaharaan boleh dilihat sebagai sebahagian daripada percaturan politik lebih luas antara Zahid dan Anwar.
Katanya, gesaan Zahid supaya PRU diadakan lebih awal perlu dilihat dalam konteks tekanan yang semakin meningkat, bukan sahaja berkaitan isu peruntukan KKDW, tetapi juga isu Tabung Haji serta kemungkinan perkembangan membabitkan Felda dan ahli politik BN semasa atau terdahulu.
Dalam konteks itu, Azmi berkata pertikaian terbuka yang luar biasa antara Perbendaharaan dan kem Zahid membawa implikasi politik yang melangkaui pertikaian pentadbiran biasa.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.