Percanggahan agihan kerusi Melaka cetus persoalan kerjasama Umno-PAS pada PRU16

Penafian PAS rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka sudah dimuktamadkan menimbulkan persoalan dalam kalangan penganalisis mengenai kemungkinan kedua-duanya bekerjasama pada PRU16.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata PRN Melaka sepatutnya menjadi ujian untuk melihat sama ada BN dan PAS mampu bekerjasama dengan baik.
“Jelas sekali ada perkara yang tidak kena. Hakikat bahawa PAS secara terbuka menyatakan pembahagian kerusi belum dimuktamadkan membawa makna yang besar.
“Melaka sepatutnya menjadi ‘eksperimen’ untuk mengukur sama ada mereka boleh bekerjasama atau tidak. Jadi, perkembangan ini bukan petanda yang baik,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata gabungan itu akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala PAS dan sekutunya akan bertanding di baki tujuh kerusi.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pembahagian kerusi itu masih belum dimuktamadkan, walaupun menegaskan kerjasama antara kedua-dua pihak tetap akan berlaku.
Syaza berkata tindakan PAS mempertikaikan secara terbuka pengaturan itu sesuatu yang signifikan, terutama kerana Zahid dilihat sukar untuk mengubah pendiriannya.
“BN tidak akan berundur, manakala PAS pula nampaknya tidak berpuas hati dengan hanya tujuh kerusi.”
Menurutnya, BN dan PAS mungkin akhirnya bertembung di beberapa kerusi tetapi masih mengekalkan hubungan baik serta menumpukan serangan terhadap Pakatan Harapan (PH), seperti pendekatan mereka di Johor.

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata PRN Melaka akan menjadi ujian penting kepada kerjasama BN-PAS menjelang PRU16, berbeza dengan Johor dan Negeri Sembilan yang menurutnya lebih mudah untuk kedua-dua pihak mencapai persefahaman.
Katanya, masalah di Melaka bukan sekadar jumlah kerusi yang diberikan kepada PAS dan Wawasan, tetapi turut membabitkan peluang mereka untuk menang.
Berdasarkan kenyataan Zahid, PAS dan Wawasan dijangka bertanding di empat kubu kuat DAP, iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.
“Mengambil alih kerusi itu daripada DAP bukan tugas mudah,” kata Azmi.
Daripada baki tiga kerusi, Bukit Katil diwakili bekas ketua menteri Adly Zahari selama dua penggal, manakala Sungai Udang dan Bemban dimenangi Bersatu pada PRN lalu.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia pula berpandangan usaha membentuk kerjasama bagi menghadapi PRU16 akan menjadi lebih sukar buat Umno dan PAS jika kebuntuan rundingan kerusi di Melaka berterusan.
Katanya, jika PAS dan Umno gagal mencapai kompromi di Melaka, kedua-dua parti juga mungkin berdepan kesukaran untuk mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi di negeri yang diterajui PAS.
Bagaimanapun, Mazlan percaya BN masih mahu bekerjasama dengan PAS di Melaka walaupun gabungan itu berupaya memenangi negeri tersebut tanpa bantuan parti berkenaan.
“BN mahu mengurangkan kesan perpecahan undi di kawasan majoriti Melayu.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.