Najib mohon 2 kediaman untuk tahanan rumah tapi ditolak, kata Saifuddin

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon untuk menjadikan sebuah lagi kediaman sebagai lokasi kedua bagi tahanan rumahnya, namun ditolak, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, di Dewan Rakyat.
Saifuddin berkata Najib mengemukakan permohonan bertulis supaya sebuah lagi kediaman diwartakan sebagai lokasi tahanan rumahnya.
“Buat masa ini, kita terikat dengan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, iaitu hanya satu rumah (di Langgak Duta) boleh digunakan.
“Kita tidak dapat memenuhi permohonan Najib,” kata menteri itu kepada Dewan Rakyat.
Saifuddin menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), yang meminta menteri dalam negeri mendedahkan syarat khusus yang dikenakan terhadap Najib sepanjang beliau menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Suhaizan turut bertanya agensi manakah yang bertanggungjawab memantau pematuhan bekas perdana menteri itu terhadap syarat berkenaan.
Pada September, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Ia tertakluk pada pembayaran denda yang dikenakan mahkamah serta pematuhan terhadap syarat-syarat lain yang ditetapkan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.