Lelaki pandu bahaya sebabkan kematian guru dipenjara 5 tahun, denda RM30,000

Seorang lelaki dipenjara lima tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang guru agama, April tahun lalu.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh, Mohd Ridzal Jaibi Abdullah, 40, digantung lima tahun berkuat kuasa hari ini, lapor Berita Harian.
Tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda, selain sabitan kesalahan diendoskan pada lesen memandunya.
Keputusan dibuat oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan sebelum mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Peruntukan hukuman di bawah seksyen berkenaan adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM50,000.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu pikap Mitsubishi Triton dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Bahauddin, 30.
Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) IPD Tawau Joan Lee mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Raz Aziera Ronald.
Terdahulu, Raz Aziera memohon supaya pelaksanaan hukuman anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu.
Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dengan jaminan RM5,000 bersama dua penjamin tempatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.