BAP RM200, mencari ‘Ali’ di sekolah kita
Ketika menonton filem ‘Children of Heaven’ dari Indonesia, adaptasi karya agung pengarah Iran, Majid Majidi, ada satu babak mengundang renungan mengenai besarnya peranan seorang guru dalam kehidupan anak murid.
Filem arahan Hanung Bramantyo itu mengisahkan Ali, seorang anak daripada keluarga miskin yang pintar dan tabah mengharungi pelbagai dugaan kehidupan.
Selepas menghilangkan kasut sekolah adiknya, Zahra, dua beradik itu terpaksa bergilir-gilir memakai sepasang kasut untuk ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Keadaan itu menyebabkan Ali sering lewat ke sekolah sehingga pada suatu hari, guru besarnya tidak membenarkannya mengikuti sesi pembelajaran.
Namun, guru kelasnya yang menyedari potensi Ali berjaya meyakinkan guru besar supaya memberikan peluang kepada anak kecil itu.
Ali akhirnya mengharumkan nama sekolah dengan menjuarai pertandingan larian, meskipun niat asalnya hanya mahu menduduki tempat ketiga kerana hadiahnya sepasang kasut yang ingin diberikan kepada adiknya.
Di sebalik kisah menyentuh hati itu terselit satu mesej besar – tidak semua murid yang bermasalah di sekolah sebenarnya bermasalah dari segi sikap atau disiplin. Ada yang sedang bergelut dengan kesukaran hidup yang tidak diketahui orang lain.
Betapa pentingnya seorang guru yang bukan sekadar mengajar, tetapi berusaha memahami kehidupan anak muridnya.
Kisah Ali itu terlintas apabila timbul polemik berhubung hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya pemberian bantuan awal persekolahan (BAP) bagi sesi 2027 dibuat di sekolah dengan kehadiran ibu bapa.
Bantuan itu dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid tahun depan, membabitkan 5.3 juta penerima.
Ada yang mempersoalkan mengapa dalam era kemajuan teknologi, ibu bapa masih perlu hadir ke sekolah sedangkan wang berkenaan boleh sahaja dikreditkan terus ke akaun bank penerima.
Dari sudut kecekapan penyampaian bantuan, pandangan itu ada benarnya.
Namun, jika diteliti hasrat Anwar, perkara yang ingin dicapai bukan semata-mata penyerahan wang bantuan, sebaliknya membuka ruang kepada ibu bapa bertemu guru dan membincangkan perkembangan pendidikan anak masing-masing.
Hasrat itu ada asasnya.
Hakikatnya, masih ada segelintir ibu bapa yang kurang mengikuti perkembangan anak di sekolah, seolah-olah tanggungjawab mendidik sudah berpindah sepenuhnya kepada guru sebaik sahaja anak melangkah masuk ke pagar sekolah.
Ada kalanya ibu bapa mengadu tidak mengetahui sesuatu program atau permasalahan di sekolah, sedangkan makluman sudah disampaikan menerusi pelbagai saluran termasuk kumpulan WhatsApp dan Telegram.
Teknologi memudahkan penyampaian maklumat, tetapi belum tentu menjamin komunikasi yang berkesan.
Barangkali dalam pertemuan singkat ketika menerima BAP itu, guru boleh berkongsi mengenai perubahan tingkah laku, kemerosotan prestasi akademik atau masalah disiplin seseorang murid sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Pada masa sama, ibu bapa boleh menjelaskan keadaan di rumah yang mungkin mempengaruhi pembelajaran anak mereka.
Mungkin ada murid yang sering tertidur di dalam kelas kerana terpaksa membantu keluarga mencari rezeki. Mungkin ada yang kerap tidak hadir kerana masalah pengangkutan. Mungkin juga ada ‘Ali’ di sekolah kita yang datang lewat bukan kerana malas, tetapi berdepan kesukaran yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.
Pertemuan itu juga bukan seharusnya menjadi sesi guru mengadu tentang murid semata-mata. Ia perlu menjadi ruang kedua-dua pihak mendengar, memahami dan mencari penyelesaian bersama.
Bagaimanapun, pelaksanaannya harus mengambil kira kekangan ibu bapa yang bekerja, khususnya mereka yang bergantung kepada upah harian, selain mengelakkan pertambahan beban tugas guru.
Pihak sekolah wajar diberikan kelonggaran mengatur pertemuan mengikut kesesuaian masing-masing tanpa menjejaskan hak murid menerima bantuan.
Satu lagi yang diharapkan, biarlah urusan pemberian BAP itu berlangsung secara sederhana, hanya membabitkan guru, murid serta ibu bapa atau penjaga.
Tidak perlulah dianjurkan majlis khas dengan kehadiran personaliti tertentu, lengkap dengan ucapan panjang lebar, kain rentang dan sesi bergambar menyerahkan sampul bantuan.
Nanti lain pula jadinya. Hasrat asal mahu mendekatkan ibu bapa dengan guru, akhirnya lebih banyak masa dihabiskan untuk memenuhi tuntutan protokol dan meraikan tetamu kehormat.
Jangan sampai ibu bapa pulang membawa RM200, tetapi masih tidak mengetahui apa yang sedang dilalui anak mereka di sekolah.
Kembali kepada kisah Ali, seorang guru yang sudi memahami telah membuka ruang untuk seorang anak menunjukkan potensinya.
Kita tidak tahu berapa ramai ‘Ali’ di sekolah seluruh negara yang sedang menanti seseorang memahami kesukaran mereka.
RM200 mungkin cukup untuk membeli sepasang kasut baharu, beg sekolah dan beberapa keperluan pembelajaran. Namun, kesediaan seorang guru dan ibu bapa untuk duduk semeja, saling mendengar dan memahami kehidupan seorang anak mungkin jauh lebih berharga.
Wang bantuan itu akhirnya akan habis dibelanjakan, tetapi perhatian diberikan kepada seorang anak hari ini boleh mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
