Tak masuk akal PAS serah jawatan PM kepada Umno, kata wartawan veteran

Tidak masuk akal jika PAS menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Umno sedangkan parti itu mempunyai kedudukan lebih besar di Parlimen, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.
“PAS tidak maksum, tetapi kepemimpinannya dilihat lebih berintegriti berbanding Umno,” katanya di Facebook, sambil mengingatkan PAS berisiko dikaitkan dengan rekod buruk Umno jika terus berpakat dengan parti itu.
Pandangan Kadir menyusul keputusan PRN Melaka pada 14 Nov lalu yang menyaksikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memenangi 24 daripada 28 DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh empat kerusi, semuanya menerusi DAP.
Beliau berkata, kemenangan besar BN bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Umno mempunyai pengaruh kukuh di selatan Semenanjung, selain menunjukkan pemulihan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu.
Kadir berkata, sokongan itu mula pulih apabila Umno semakin lantang mengkritik DAP dan merenggangkan hubungan dengan PH, bermula di Johor sebelum diikuti Negeri Sembilan serta Melaka.
Katanya, keputusan PRN Melaka turut memberi gambaran wujudnya kerjasama antara BN dan PN yang menarik sebahagian pengundi Melayu.
“Mereka melihatnya sebagai kesepakatan Umno dan PAS bagi menamatkan riwayat PH,” katanya.
Bagaimanapun, Kadir mengingatkan kejayaan Umno di tiga negeri itu bukan jaminan parti berkenaan mampu merampas kembali pengaruhnya di negeri utara dan Pantai Timur, memandangkan PAS serta sekutunya hampir mustahil menyerahkan kerusi yang sudah dimenangi untuk ditandingi Umno.
Mengenai masa depan hubungan PAS dan Umno, beliau tidak menolak kemungkinan kedua-duanya kembali bertelagah selepas mencapai matlamat bersama menewaskan PH.
“Apa yang akan berlaku setelah matlamat itu tercapai, cerita lain. Tidak mustahil PAS dan Umno kembali bercakaran,” katanya.
Sebelum ini, bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming, meramalkan Pengerusi BN Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri jika gabungan BN-PN menang PRU16.
Ketika ini, PAS memiliki 43 kerusi Parlimen manakala Umno 26 kerusi. Parti Islam itu sebelum ini menyatakan hasrat mempertahankan semua kerusi dimenanginya pada PRU lalu, termasuk yang dirampas daripada Umno.
Pada PRU 2022, PAS mencatatkan peningkatan besar di Pantai Timur dan kawasan utara Semenanjung, manakala Umno kalah semua kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Umno juga gagal memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Melaka dan Selangor, sementara PAS turut mencatatkan kemaraan ketara di negeri itu serta Pahang.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.