Usaha lemahkan PN masih berterusan, dakwa Saifuddin

Setiausaha Agung Wawasan Saifuddin Abdullah mendakwa usaha melemahkan Perikatan Nasional (PN) masih berterusan termasuk melalui tindakan membatalkan pendaftarannya kerana gabungan itu semakin kuat.
Beliau berkata, PN kini mempunyai 62 Ahli Parlimen, menerajui Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, selain menjadi sebahagian kerajaan Negeri Sembilan.
“Rasanya mereka masih belum berhenti dan akan sentiasa cuba menggagalkan, termasuk dengan membatalkan pendaftaran PN, iaitu gabungan terbesar parti-parti politik berbilang kaum dan agama yang semakin mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian dalam tulisan di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Saifuddin turut mempersoalkan rentetan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terhadap PN selepas Bersatu membuat aduan pada 11 Ogos berhubung keputusan tidak menjemput parti itu ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Menurutnya, Bersatu tidak dijemput ke mesyuarat berkenaan kerana ketika itu PN belum menerima penjelasan mengenai isu korum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan.
Katanya, selepas penjelasan diperoleh, Bersatu kembali dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 20 Sept, namun ia ditangguhkan.
Saifuddin turut mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai pendekatan berbeza JPPM apabila jabatan itu sebelum ini didakwa mengambil pendirian tidak boleh campur tangan dalam isu korum Bersatu dengan merujuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
Namun, katanya, JPPM kemudian mengambil tindakan terhadap PN susulan aduan Bersatu berhubung mesyuarat 16 Julai.
Pada 22 Sept, JPPM mengeluarkan notis berkaitan pembatalan pendaftaran PN sebelum menggantung kegiatan gabungan itu sehari kemudian.
Pendaftaran PN kemudian dibatalkan pada 20 Okt, yang menurut Saifuddin berlaku sebelum tamat tempoh 30 hari daripada tarikh notis pertama dikeluarkan.
Beliau menyifatkan rentetan tindakan itu sebagai keterlaluan selain mendakwa pembatalan dibuat ketika proses mahkamah berhubung tindakan JPPM masih berjalan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Okt menggantung pelaksanaan keputusan JPPM membatalkan pendaftaran PN yang membolehkan gabungan itu bertanding pada PRN Melaka.
Sehari kemudian, JPPM dan menteri dalam negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.