Oooh Bersatu komponen PN rupanya


Bagi saya hasrat Perikatan Nasional (PN) mahu ambil tindakan tatatertib ke atas Bersatu amat menarik . Lantas bermain dalam minda bukankah Bersatu bukan lagi komponen PN? Pertanyaan susulan – bolehkah ambil tindakan ke atas parti yang bukan komponen?
Imbau kembali kenyataan Presiden PAS Hadi Awang Ogos lalu. Kata beliau, PAS menganggap secara rasmi Bersatu bukan lagi sebahagian daripada keluarga PN .
Ini menurut Hadi terjadi secara automatik apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan rancangan menubuhkan gabungan politik baharu.
“Tak perlu kenyataan atau keputusan rasmi dah sebab dia dah terjerat sendiri apabila dia buat kenyataan begitu . Ikut Perlembangaan PN kalau dia pergi ke (pakatan) lain habislah,” Hadi dilapor berkata.
Oleh kerana PAS kuasa dominan dalam PN, kata-kata presidennya carry a lot of weight. Lagipun Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar adalah pengerusi PN. Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan adalah juga setiausaha agung PN, dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ialah salah seorang timbalan pengerusi PN .
Hadi juga mengesahkan pintu rundingan damai dengan Bersatu sudah ‘tertutup rapat’ .
Ketika itu tentu ramai masih ingat Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali menolak kenyataan Hadi dan mendakwa partinya masih ‘sah anggota PN’.
Anehnya Samsuri mengeluarkan kenyataan pada 9 Ogos yang bercanggah dengan kenyataan Hadi. Sebaliknya sependapat dengan Azmin dengan berkata Bersatu masih komponen PN. Tetapi tidak ada tindakan susulan diambil beliau atau PN sendiri untuk ‘memperbetulkan’ apa yang telah dikata Hadi.
Malah, dua bulan sebelum itu, yakni pada 9 Jun PAS mengumumkan berhenti kerjasama politik dengan Bersatu .
Umum tahu berikutan aduan Bersatu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung semua aktiviti PN pada 23 Sept lalu. Dan pada 20 Okt ia membatalkan pendaftaran PN.
Namun, dua hari kemudian notis pembatalan itu digantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Maka PN bebas menjalankan semula aktivitinya atas nama dan guna logo rasminya.
Dan hasrat ambil tindakan tatatertib ke atas Bersatu adalah aktiviti awalnya sejak menyambut keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kata Takiyuddin, keputusan itu dibuat pada mesyuarat ‘tergempar’ Ahad lalu membabitkan ahli Majlis Tertinggi PN dan dipengerusikan Samsuri.
Menurut beliau, tindakan tatatertib ke atas Bersatu mesti diambil kerana parti itu ‘bertindak bertentangan dengan kepentingan PN termasuk bertanding menentang PN pada PRN Negeri Sembilan’.
Tetapi mungkinkah Bersatu menentang PN pada PRN itu kerana percaya ia bukan lagi anggota PN? Berdasarkan kenyataan Hadi yang disebut tadi. Juga kerana PAS sudah putuskan hubungan politik dengan mereka?
Apa pun menurut Takiyuddin, tindakan tatatertib diambil berpandu Fasal 15 Perlembagaan PN. Mengikut Fasal itu, tindakan yang boleh dikenakan termasuk amaran, penggantungan atau pemecatan bergantung keseriusan kesalahan yang dilakukan.
PN sekarang obviously anggap Bersatu masih komponennya lantas boleh dikenakan tindakan. Berbalik persoalan yang saya kemukakan tadi, adakah ia masih komponen PN? Mengambil kira kenyataan Hadi pada Ogos lalu.
Dan berdasarkan kenyataan Hadi, bagaimana tindakan boleh diambil ke atas parti yang sudah ‘terkeluar secara automatik’? (mengguna kata-kata Hadi). Sekali gus cease to be a component.
Atau mungkin PN percaya ia boleh ambil tindakan berdasarkan ‘pengakuan’ Azmin? Tentu Azmin menyesal sekarang kerana mendakwa partinya masih anggota PN waktu itu. Atau PN bertindak berdasar kenyataan Samsuri yang bercanggah dengan kenyataan Hadi seperti dinyatakan tadi? Meskipun mereka diam dan akur dengan pendirian si presiden PAS.
Saya tidak dapat elak bertanya – adakah tindakan PN ada kena mengena dengan ura-ura Bersatu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya pada PRN Melaka ?
Semasa PH mengumumkan barisan calonnya untuk PRN Melaka tempoh hari, ia meletak calon di 21 kerusi – membiarkan baki tujuh kosong. Ramai pengalisis juga pemerhati politik berpendapat tujuh kerusi itu diperuntukkan kepada Bersatu . Maka PN mahu menghalang itu daripada terjadi . Wallahuaklam.
Seperkara lagi sebelum saya menutup penulisan kali ini. JPPM sudah memfail rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran PN.
Panjang lagi kisah PN ini.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.