Mati dalam tahanan, keluarga tolak dakwaan polis ikut SOP

Keluarga lelaki yang meninggal dunia dalam tahanan polis menolak dakwaan ketua polis Kuala Lumpur bahawa penangkapan dan penahanannya dijalankan mengikut SOP.
Adik kepada Noorizwan Zulkefly, Nooranis, menyuarakan kemarahan terhadap dakwaan polis bahawa pihak berkuasa mematuhi protokol sewajarnya.
Noorizwan, 42, dikaitkan dengan tiga kes terbaharu, satu melibatkan dadah dan dua melibatkan kesalahan jenayah.
Nooranis mendakwa pegawai polis merahsiakan perkara itu daripada keluarga selama 12 hari, dan memaklumkan kakitangan hospital bahawa Noorizwan tidak mempunyai waris sedangkan rumah keluarga mereka hanya terletak lima minit dari IPD Cheras.
Beliau berkata, pegawai dari Bukit Aman sebelum ini memberi jaminan kepada keluarganya bahawa IPK Kuala Lumpur dan IPD Cheras tidak akan terlibat dalam siasatan terhadap kematian abangnya.
“Jadi, mengapa ketua polis Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini sekarang?
“Saya tidak mahu kenyataan daripada ketua polis Kuala Lumpur. Saya mahu kenyataan daripada ketua polis negara (KPN). Ini isu serius. Kami rakyat Malaysia, dan kami mempunyai hak kami,” katanya di pekarangan Bukit Aman.
Pihak keluarga sambil diiringi peguam daripada Lawyers for Liberty (LFL) serta ahli masyarakat sivil, berkumpul di luar Bukit Aman untuk menyerahkan memorandum bantahan rasmi yang disokong 53 NGO, kumpulan hak asasi, selain bapa dan lima adik-beradik Noorizwan.
Sekitar 60 penyokong berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Khairulnizam Rani daripada Bahagian Komunikasi Korporat Urus Setia KPN.
Mereka yang hadir memegang plakad tertera ‘Uniform bukan lesen bertindak sesuka hati’ dan ‘CCTV lokap! Pelihara semua bukti’, sambil melaungkan ‘Tangkap pembunuh’ dan ‘Tuntut keadilan’ di luar pintu masuk utama.
Memorandum tersebut menyenaraikan empat tuntutan utama, termasuk diklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, penggantungan dan tangkapan semua pegawai yang terlibat semasa penahanan Noorizwan di IPD Cheras — terutama kakitangan Bahagian D4 — serta penjelasan awam mengenai sebab keluarga itu langsung tidak dimaklumkan.
LFL berkata, polis mesti menjamin dan memelihara semua rakaman CCTV lokap, diari lokap, log penahanan, dan rekod perubatan bagi mengelakkan sebarang pemalsuan bukti.
“Ketika jenazah diserahkan kepada keluarga, mereka melihat kesan lebam di seluruh badan. Kesan lebam itu tidak mungkin berpunca daripada sebab lain melainkan dia dipukul,” kata Pengarah LFL Rania Aljunied.
Noorizwan ditangkap pada 20 Sept lalu ditahan di IPD Cheras selama 11 hari tanpa pengetahuan keluarganya, sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) pada 30 Sept, di mana dia disahkan meninggal dunia pada 1 Okt.
Pada 12 Okt, pakar patologi forensik kanan HUKM mengesahkan kepada keluarga dan pasukan undang-undang mereka bahawa punca kematian adalah akibat trauma objek tumpul pada bahagian kepala.
Bedah siasat mendedahkan berlaku 21 kecederaan teruk, termasuk pendarahan otak, pendarahan dalaman di perut, serta bengkak meluas dari tengkorak hingga ke tapak kaki.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.