PAS, Umno berbeza pendekatan rakan penyatuan ummah, kata penganalisis

PAS dan Umno dilihat masih belum sehaluan mengenai bentuk kerjasama menerusi agenda penyatuan ummah, khususnya sama ada ia perlu membabitkan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pendekatan Umno setakat ini menunjukkan parti itu lebih selesa berunding secara langsung dengan PAS seperti dalam Muafakat Nasional (MN) beberapa tahun lalu.
Menurutnya, kerjasama dijangka ‘kurang lancar’ jika membabitkan rakan PAS dalam PN terutama Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang turut bertanding di kerusi majoriti Melayu.
Katanya, membawa lebih banyak parti ke meja rundingan akan menjadikan proses pembahagian kerusi semakin rumit terutama menjelang PRU16.
“Penyatuan ummah secara spesifiknya bagi Umno adalah antara dengan PAS sahaja.
“Sebab itu mereka mahu berurusan dengan PAS sahaja kerana menjadi tanggungjawab PAS di dalam PN untuk membahagikan kerusi kepada rakan komponennya,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man supaya penyatuan ummah diperluaskan di luar PAS dan Umno menunjukkan parti itu perlu mengambil kira sensitiviti rakan dalam PN.
Menurutnya, PAS tidak boleh membentuk naratif penyatuan yang memberi gambaran parti lain dalam gabungan itu sekadar pelengkap atau boleh diketepikan apabila rundingan kuasa berlangsung.
“Jika naratif penyatuan hanya tertumpu kepada PAS dan Umno, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa parti lain dalam PN sekadar pelengkap atau boleh diketepikan apabila rundingan kuasa berlaku.
“Mana-mana formula kerjasama politik perlu lebih inklusif dan tidak mengorbankan kepentingan rakan sedia ada,” katanya.
Namun, Tawfik berkata usaha memperluaskan kerjasama itu mempunyai cabarannya tersendiri kerana semakin banyak pihak terlibat, semakin rumit rundingan berkaitan kepimpinan, pembahagian kerusi dan hala tuju hubungan dengan BN serta PN.

Katanya, kerangka lebih luas mungkin membantu PAS membina imej penyatuan Melayu-Islam yang lebih inklusif, tetapi pada masa sama membuka ruang kepada persaingan kepentingan antara parti.
Kelmarin, Tuan Ibrahim berkata PAS dan Umno perlu meluaskan agenda penyatuan ummah kepada pelbagai pihak dan tidak mengehadkan kepada hubungan antara dua parti itu semata-mata.
Beliau berkata perubahan landskap politik serta pertambahan pengundi muda menuntut satu kerangka politik lebih inklusif yang mampu merangkumi kelompok lain dalam masyarakat.
Kenyataan itu hadir ketika hubungan PAS dan Umno kembali menjadi perhatian selepas kedua-dua parti bekerjasama dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan.
Malah, wakil kedua-dua parti saling hadir ke Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung Umno berlangsung bulan ini.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.