Hakimin sandar isu rakyat untuk pecah kubu BN Ayer Molek

Calon Pakatan Harapan (PH) Hakimin Mokhtar mengakui berdepan tugas berat untuk menawan Ayer Molek daripada Barisan Nasional (BN), tetapi percaya tumpuan terhadap isu rakyat mampu membuka ruang kepada perubahan di kerusi itu.
Hakimin, 35, berkata kekuatan nama atau sejarah sesebuah parti tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal, sebaliknya calon perlu memahami masalah penduduk dan menawarkan penyelesaian realistik.
“Saya turun bertanding bukan sekadar untuk mencuba nasib, tetapi dengan tekad untuk membawa perubahan kepada masyarakat Ayer Molek.
“Saya percaya politik khidmat, kehadiran di lapangan dan keberanian membawa isu rakyat perlu menjadi asas perjuangan,” kata ketua Pemuda PKR Melaka kepada FMT.
DUN Ayer Molek antara kubu kuat BN yang mempertahankan kerusi itu menerusi Rahmad Mariman dengan majoriti 2,802 undi pada PRN Melaka 2021.
PRN kali ini menyaksikan Hakimin ditentang Ketua Umno Hang Tuah Jaya Ridhwan Ali yang membawa cabaran BN.
Hakimin berkata, antara isu perlu diberi perhatian di Ayer Molek ialah banjir, rumah mampu milik dan peluang pekerjaan, terutama bagi golongan muda.
Menurutnya, usaha menangani banjir tidak boleh hanya tertumpu kepada pemberian bantuan selepas bencana, sebaliknya projek tebatan perlu dilaksanakan dan dipantau secara berkesan bagi mengelakkan masalah sama berulang.
Beliau turut mahu lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan diwujudkan supaya golongan muda tidak perlu keluar jauh dari Ayer Molek untuk mencari rezeki.
“Saya tidak mahu hanya menyalahkan pihak terdahulu. Apa yang penting ialah kita menilai apa yang masih belum selesai dan menawarkan pendekatan lebih berkesan.
“Rakyat mahukan wakil yang bukan sahaja hadir ketika kempen, tetapi terus bersama mereka selepas pilihan raya,” kata graduan sarjana muda sains pentadbiran (kepujian) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Perpaduan bukan sekadar slogan
Mengulas naratif kerjasama politik atas nama perpaduan, Hakimin berkata konsep itu baik tetapi tidak seharusnya hanya dijadikan slogan ketika pilihan raya.
Katanya, rakyat perlu menilai kerjasama politik berdasarkan hasil, termasuk sama ada ia membantu memperbaiki ekonomi keluarga, menyelesaikan masalah setempat dan membawa pembangunan lebih berkesan.
“Rakyat perlu melihat apakah hasil sebenar daripada kerjasama politik tersebut. Adakah masalah mereka selesai? Adakah ekonomi keluarga semakin baik? Adakah pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan?” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.