Hizbullah tak peduli siapa tadbir Israel

Ketua Hizbullah, Naim Qassem, berikrar gerakan Lubnan yang disokong Iran itu akan meneruskan “penentangan” terhadap Israel , tidak kira siapa memenangi pilihan raya di negara berkenaan.
Dengan 85% undi telah dikira, blok berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendahului tipis berbanding blok pembangkang utama, tetapi masih gagal meraih majoriti selepas pilihan raya pada Selasa.
“Kami tidak peduli siapa mentadbir Israel, tetapi perlu ditegaskan mereka tidak boleh meneruskan pendudukan dan mesti keluar dari tanah kami.
“Penentangan akan diteruskan…dan akan bangkit menentang pencerobohan ditujukan kepada kami atau Lubnan. Tiada ruang untuk bincang pelucutan senjata Hezbollah selagi pendudukan dan pencerobohan itu berterusan,” kata Qassem dalam kenyataan.
Kumpulan itu pernah mendominasi landskap politik di Lubnan, tetapi kini semakin lemah akibat dua peperangan yang dilancarkannya terhadap Israel sejak 2023.
Jun lalu, pihak berkuasa Lubnan dan Israel memeterai satu perjanjian rangka kerja merangkumi pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel dari wilayah diduduki serta penempatan tentera Lubnan di kawasan itu.
Tetapi, Israel terus melancarkan serangan berkala dan melakukan kerja perobohan di dalam serta sekitar wilayah didudukinya, sementara Hizbullah enggan akur kepada rancangan kerajaan untuk melucutkan senjatanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.