KKM akan periksa kilang roti selepas dakwaan keracunan makanan

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kilang roti di Shah Alam susulan dakwaan keracunan makanan yang tular di media sosial.
KKM berkata, ia sedang menunggu keputusan analisis makmal berhubung produk terbabit dan akan memeriksa kilang itu bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Makanan.
“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil, sekiranya terdapat bukti pelanggaran atau risiko keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan.
KKM memaklumkan pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd berhubung dakwaan keracunan makanan itu.
“Menurut syarikat (itu), siasatan dalamannya tidak menemui sebarang penyimpangan proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terlibat.”
Katanya, beberapa produk telah diambil untuk tujuan analisis makmal.
Semalam, Gardenia dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menemui pelanggan terbabit dan mengambil sampel roti berkenaan untuk dianalisis.
“Jabatan berkaitan sedang meneliti maklumat, rekod pengeluaran serta kawalan kualiti bagi mengenal pasti fakta sebenar dan menentukan tindakan susulan.
“Kami juga ingin memberi jaminan kepada pengguna bahawa tiada perubahan dibuat terhadap resipi atau formulasi produk kami dan prosedur keselamatan makanan serta kawalan kualiti yang ditetapkan terus dilaksanakan.”
Gardenia berkata, ia komited memberi kerjasama kepada KKM dalam siasatannya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa anaknya jatuh sakit selepas makan roti dikeluarkan syarikat itu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.