Komponen GPS dijangka sengit rebut 2 DUN

Perebutan sengit dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka berlaku bagi dua kerusi pada PRN akan datang susulan tindakan keluar penyandangnya daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Dick Lembang Dugun, berkata pengunduran naib presiden kanan PDP, Wong Soon Koh dan Naib Presiden, Johnical Rayong Ngipa cukup menarik kerana turut mengumumkan mereka terus menyokong GPS.
Dugun berkata, mereka mungkin membuat keputusan itu kerana sukar untuk dipilih sebagai calon GPS masing-masing di Bawang Assan dan Engkilili, yang lazimnya diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), satu lagi komponen GPS.
“Tarikan utama mereka ialah mereka calon boleh menang dan bekerja keras untuk rakyat. Sebab itulah mereka kerap bertukar parti (tetapi terus dipilih sebagai Adun),” katanya kepada FMT.
Dugun berkata, walaupun Rayong memohon untuk menyertai SUPP dengan harapan dapat dinamakan sebagai calon GPS di Engkili, Wong yang berusia 84 tahun mungkin memilih seseorang untuk bertanding sebagai ‘pengganti’ pilihannya, mewakili Bawang Assan.
Keadaan itu akan menyaksikan SUPP berdepan cabaran untuk menyampaikan kepada pengundi bahawa wakilnya ialah calon rasmi GPS, andai parti tersebut diperuntukkan dua kerusi berkenaan sekali lagi, katanya.
“Wong mungkin cuba ‘mengelirukan’ pengundi pada pilihan raya akan datang dengan menjual naratif mereka juga daripada GPS secara langsung, atau sebagai calon ‘bayangan’.
“Jika Wong dan Rayong keduanya menjadi calon langsung GPS, ia menunjukkan betapa lemahnya SUPP di dua kawasan terbabit. Dalam keadaan sedemikian, SUPP wajar membubarkan sahaja cawangannya di sana,” katanya.
Sejarah perseteruan panjang dengan SUPP
Wong dan Rayong mempunyai sejarah permusuhan yang panjang dengan SUPP, setelah keduanya pernah menjadi anggota parti yang kini dipimpin Timbalan Premier Dr Sim Kui Hian.
Wong pertama kali menang Bawang Assan pada 1991 di bawah SUPP, ketika beliau pernah menjadi pemimpin kanan. Beliau mula berpengaruh selepas memegang beberapa portfolio Kabinet negeri, termasuk jawatan menteri kewangan kedua.
Namun, beliau dipecat parti itu pada 2014 di tengah-tengah perebutan kepimpinan dalaman, yang membawa kepada penubuhan Parti Rakyat Bersatu, sebelum dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB), lalu menjadi parti pembangkang pada PRN Sarawak 2021.
Rayong pula pertama kali dipilih sebagai Adun Engkilili pada 2006 di bawah Parti Kebangsaan Sarawak selepas pertandingan satu lawan satu dengan SUPP. Beliau mempertahankan kerusi itu sebagai calon SUPP, pada 2011.
Selepas dipecat SUPP pada 2014, Rayong dinamakan sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) Sarawak – kini GPS – apabila SUPP bersetuju memberi laluan. Selepas menyertai PSB, SUPP diperuntukkan kerusi Engkilili sekali lagi pada PRN 2021, namun Rayong sekali lagi menang untuk penggal keempat.
PSB dibubarkan selepas Wong dan Rayong menyertai PDP pimpinan Tiong King Sing masing-masing sebagai naib presiden kanan dan naib presiden. Perkembangan tersebut menyaksikan SUPP dan PDP menuntut dua kerusi itu, dengan PDP berhujah berdasarkan status penyandang, manakala pihak satu lagi menuntutnya sebagai kerusi tradisi.
Tiong uji SUPP?

Jayum Jawan daripada Akademi Sains Malaysia berkata, keluarnya Wong daripada PDP mungkin disebabkan kerana beliau dan proksinya tidak akan dinamakan sebagai calon GPS di Bawang Assan.
“Apabila dia tidak dapat mempengaruhi perkara itu, dia tiada pilihan selain meninggalkan parti,” katanya sambil menambah bahawa tindakan Rayong keluar parti dan memohon untuk menyertai semula SUPP mungkin didorong oleh sebab yang sama.
Beliau percaya Tiong tidak akan mudah mengalah, kerana presiden PDP itu berjaya memperoleh Dudong – kerusi lazimnya ditandingi SUPP – untuk PDP pada pilihan raya 2021.
“Presiden PDP sedang menguji SUPP. PDP menang pada PRN lalu apabila Tiong sendiri mengambil alih Dudong di depan mata SUPP. Beliau mula tunjuk berani.
“Ia akan menjadi satu hadiah besar sekiranya beliau dapat meraih lebih banyak kerusi majoriti Cina seperti Bawang Assan untuk partinya. Hal itu akan menambah keyakinan terhadap kepimpinannya dalam PDP yang sebahagian besarnya berasaskan Dayak,” katanya.
Namun, Jayum berkata tempoh Wong bersama PDP sudah dijangka singkat, kerana beliau akan berselisihan mengenai kepimpinan Tiong King Sing.
“Bak kata pepatah Cina, satu gunung tidak boleh ada dua harimau,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.