Pelabur China minat bawa pelaburan aluminium skala besar ke Sarawak, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata pelabur China menunjukkan minat untuk membawa pelaburan berskala besar dalam sektor pengeluaran aluminium ke kawasan perindustrian Samalaju di Bintulu, Sarawak.
Beliau berkata, cadangan itu berpotensi memperluas kapasiti pengeluaran produk berasaskan aluminium untuk kegunaan sektor pembinaan, automotif dan industri lain, serta menembusi pasaran baharu di peringkat global.
Katanya, pelaburan berimpak tinggi itu adalah antara perkara yang dibincang ketika bertemu pelabur dan ahli perniagaan China hari ini pada hari ketiga lawatan kerja beliau ke negara berkenaan.
Bercakap pada sidang media selepas pertemuan itu, Zahid berkata usaha menarik pelabur China adalah sebahagian daripada pendekatan dalam menggalakkan kemasukan pelaburan ke kawasan luar bandar khususnya dalam sektor pengeluaran berteknologi tinggi.
Beliau berkata, insentif diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027, yang menjurus kepada pelaburan di luar kawasan perindustrian tertentu, juga boleh menjadi antara tarikan kepada pelabur asing.
“Dalam lawatan kerja dan pertemuan ini, banyak bidang telah dikenali pasti dan tumpuan saya terarah kepada pengeluaran berasaskan teknologi tinggi.
“Umpamanya, terdapat minat daripada mereka untuk melabur di kawasan industri di Samalaju, Sarawak di mana mereka akan membawa pasaran yang telah mereka ada dan juga menerobos pasaran baharu… pelaburannya dijangka sangat-sangat besar,” katanya.
Bagaimanapun, Zahid berkata pelaburan itu masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan Sarawak serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Sehubungan itu, beliau akan memaklumkan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Miti mengenai usaha menyediakan pusat sehenti bagi memudahkan pelabur China merealisasikan pelaburan mereka di Malaysia.
“Kemasukan pelaburan itu bukan sahaja berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran teknikal melalui institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Pendekatan factory teaching, iaitu pembelajaran berasaskan persekitaran kilang juga boleh dimanfaatkan bagi membolehkan pelajar TVET memperoleh pendedahan praktikal dalam bidang teknikal berteknologi tinggi,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.