Henry Gurney bukan jalan mati bagi anak muda

Sekolah Henry Gurney (SHG) bukan untuk menoktahi masa depan pesalah muda, sebaliknya memberi peluang kepada mereka membina diri.
Pengarah SHG Telok Mas, Triyo Kurniawan Kusmadi, berkata bekas penghuni SHG tidak memikul ‘cop banduan’ kerana ia boleh mempengaruhi peluang menyambung pengajian, mendapatkan pekerjaan dan membina kehidupan baharu.
“Penghuni SHG tiada cop banduan, itu sangat penting. Hendak jadi sukarelawan RELA pun tidak boleh kalau ada rekod banduan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT.
“Sebab itu saya selalu berbincang dengan majistret mahkamah, biarlah pesalah muda dihantar ke sini. Mereka masih ada masa depan di sini.”
Triyo berkata beliau berbangga dengan pencapaian bekas penghuni SHG yang berjaya membina kerjaya masing-masing.
“Ada yang jadi polis, bomba, askar, kastam, imigresen dan sebagainya. Mereka bebas nak jadi apa yang dimahukan,” katanya, yang sudah hampir dua dekad berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia.

“SHG sudah buka jalan, akhirnya terpulang pada diri sendiri.”
SHG bukan sekadar tempat pesalah muda menjalani hukuman, tetapi turut membekalkan mereka dengan ilmu sebagai persediaan sebelum melangkah keluar.
Pendidikan korektif di SHG menumpukan aspek pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran melalui lima kluster iaitu akademik, agama, sukan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta seni, budaya dan muzik.
“Sebaik penghuni baharu tiba, kita akan temuduga dan buat ujian diagnostik untuk melihat kluster manakah yang sesuai untuk mereka.

“Matlamat akhir kita adalah memastikan mereka mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Di SHG, penghuni berpeluang mempelajari Muay Thai, tinju dan angkat berat, selain kemahiran jahitan, pastri, automotif, elektrik dan landskap.
Penghuni juga boleh menggesek violin dan beraksi dalam orkestra atau pencaragam, malah menerima undangan membuat persembahan di luar SHG.

Beberapa program turut menawarkan sijil diperakui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang boleh digunakan untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.
Rasa bangga jelas kedengaran apabila Triyo bercerita tentang pencapaian bekas penghuni SHG dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pada 2023, ada penghuni kita berjaya dapat 8A dan sekarang sedang sambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Utara Malaysia, dan 2024 ada dua penghuni dapat 5A, manakala 10 lagi turut sambung pengajian di peringkat sijil dan diploma,” katanya.
Triyo menyeru ahli keluarga penghuni SHG supaya terus memberi sokongan, kerana mereka tidak seharusnya berputus asa.
Ketika temu bual ini, SHG Telok Mas menempatkan 425 penghuni, terdiri daripada 390 lelaki dan 35 wanita. Angka ini lebih rendah berbanding sekitar 800 hingga 900 penghuni sebelum pandemik Covid-19.
Menurut Triyo, kesalahan seksual membabitkan rogol dan liwat menjadi kategori tertinggi, iaitu 31%, diikuti kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan kesalahan lain.

Baginya, pagar besi SHG bukan jalan mati, sebaliknya garis permulaan baharu untuk membina masa depan.
“Jabatan penjara, SHG telah berusaha, masyarakat juga berusaha untuk menerima dan kini semuanya bergantung pada penghuni untuk pilih kehidupan bagaimana yang mereka mahukan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.